LONDON: Walaupun dunia berdepan ancaman pandemik Covid-19 yang belum diketahui bila penghujungnya, tiada perubahan bagi kedudukan negara paling bahagia di dunia.
Lapor CNN Travel, buat empat tahun berturut-turut Finland menjadi senarai negara paling teratas berdasarkan data daripada Gallup World Poll dengan diikuti Iceland, Denmark, Switzerland dan Belanda di tangga kedua, ketiga, keempat dan kelima.
Sementara itu, Amerika Syarikat naik ke tangga 14 berbanding kedudukan ke-18 manakala, United Kingdom jatuh ke tangga 18 daripada 13, Australia pula berada pada kedudukan ke-12.
Profesor dan Pengarah Pusat Pembangunan Kelestarian di Universiti Columbia, Jeffrey Sachs berkata, kita perlu segera belajar daripada virus Covid-19.
“Pandemik memberi peringatan kepada kita mengenai ancaman persekitaran global, keperluan mendesak untuk bekerjasama dan cabaran mencapai kerjasama di setiap negara dan global,” katanya.
Menurutnya, data yang diperoleh daripada Laporan Kebahagiaan Dunia 2021 menunjukkan perbezaan berlaku disebabkan wabak yang melanda.
Bukan sahaja penyelidik tidak berupaya melengkapkan temubual secara bersemuka di kebanyakan negara, mereka juga perlu mengubah fokus melihat hubungan antara kesejahteraan hidup manusia dengan Covid-19.
Laporan itu dinilai berdasarkan tahap GDP, jangkaan hidup, kemurahan hati, sokongan sosial, kebebasan serta kes rasuah sejak dilancarkan pada 2012.
Berikut adalah negara paling bahagia bagi 2021:
- Finland
- Iceland
- Denmark
- Switzerland
- Belanda










