TBILISI: Sebuah pusat servis kenderaan di Georgia didakwa membayar gaji terakhir kepada pekerjanya dengan menggunakan duit syiling sebanyak 91,500 keping.
Lapor BBC, Andreas Flaten berkata, syarikat tempatnya bekerja iaitu A OK Walker Autoworks tidak membayar gajinya berjumlah AS$915 (RM3,794) ketika dia berhenti.
Lebih malang, syarikat itu turut menuang minyak pada timbunan duit syiling tersebut sebelum memberikan kepada Flaten.
Menurut Flaten, dia terpaksa membersihkan setiap duit syiling itu satu persatu untuk menghilangkan kesan minyak.
Syarikat itu tidak memberikan sebarang komen mengenai perkara itu.
Namun, menerusi laman webnya, syarikat itu memaklumkan pihaknya menerima duit syiling sebagai pembayaran.
Pemiliknya, Miles Walker sebelum ini berkata, dia tidak ingat ketika memberikan duit syiling itu kepada Flaten dan menjelaskan lelaki itu sudah menerima bayaran sepatutnya.
Jelasnya, Flaten merupakan pengurus di pusat servis tersebut yang terletak di bandar Peachtree, selatan Atlanta, sehingga dia berhenti pada November lalu.
Lelaki itu berhenti kerana dia tidak bersetuju dengan peraturan syarikat yang tidak membenarkan dirinya meninggalkan pekerjaan seketika bagi menjemput anaknya dari pusat penjagaan.
Sementara itu, duit tersebut kini berada dalam kereta sorong di garaj rumah Flaten di Fayetteville.










