ADEN: Yemen menerima bekalan vaksin Covid-19 yang pertama pada hari ini, menurut Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).
Bekalan vaksin tersebut diterima seminggu selepas jawatankuasa menangani Covid-19 negara itu memberi amaran mengenai kecemasan kesihatan awam.
Bekalan vaksin keluaran AstraZeneca tiba di bandar pelabuhan selatan Aden.
“Yemen menerima 360,000 dos vaksin Covid-19 yang dihantar menerusi skim COVAX.
“Bekalan pertama vaksin ini merupakan sebahagian daripada 1.9 juta dos vaksin yang akan diterima oleh Yemen sepanjang tahun ini,” kata agensi itu dibawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
COVAX, sebuah inisiatif antarabangsa yang dipimpin oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), menyediakan bekalan vaksin Covid-19 untuk negara miskin dan berpendapatan rendah. – AFP











