LOS ANGELES: Universiti Southern California (USC) bersetuju membayar AS$1 bilion (RM4 bilion) kepada ratusan mangsa yang diserang secara seksual oleh bekas pakar ginekologi.
Peguam, Gloria Allred menerusi kenyataan berkata, universiti itu mencapai penyelesaian berjumlah AS$842.2 juta (RM3.3 bilion) yang diluluskan mahkamah Los Angeles dan ditambah dengan pembayaran pampasan yang dipersetujui sebelum itu sebanyak AS$215 juta (RM860 pada 2018 .
Katanya, jumlah itu mencatat sejarah kerana merupakan penyelesaian kes seksual terbesar oleh universiti di Amerika Syarikat (AS).
Mengikut pertuduhan, George Tyndall melakukan serangan seksual terhadap ratusan pesakit perempuan semasa pemeriksaan perubatan sepanjang 30 tahun kariernya dalam skandal besar yang melanda universiti.
Tyndall menghadapi pertuduhan melakukan sentuhan sehingga pemerkosaan sejak 1990 dengan mangsa termuda berusia 17 tahun.
Suspek yang merupakan doktor berusia 74 tahun dituduh mengambil gambar alat kelamin pesakit, meraba payu dara mangsa dan membuat kenyataan seksual mengenai fizikal mereka serta komen berbaur perkauman.
Dia didakwa mensasarkan pelajar minoriti termasuk kebanyakannya merupakan pelajar Asia di universiti itu.
Ratusan bekas pesakit itu memfailkan saman terhadap universiti tersebut kerana gagal memberikan respons yang tepat terhadap tindakan Tyndall, dengan mendakwa institusi tersebut sebenarnya menyedari tindakan doktor itu tetapi terus membenarkannya mendekati pelajar.
“Jumlah pampasan yang besar ini adalah bukti kepada kerugian dan trauma yang dihadapi oleh kesemua mangsa George Tyndall.
“Penyelesaian ini juga merujuk kepada kedegilan serta kesalahan USC yang membenarkan Tyndall berkhidmat selama 30 tahun dan mengabaikan banyak laporan mengenai perbuatan jijiknya,” kata firma guaman Manly, Stewart & Finaldi yang mewakili 234 plaintif dalam satu kenyataan.
Sehingga kini, universiti itu belum memberi sebarang kenyataan berhubung kes tersebut.
Presiden universiti tersebut meletak jawatan pada 2018 selepas mendapat tekanan daripada 200 profesional yang menggesa peletakan jawatan susulan skandal berkenaan.
Tyndall tidak disiasat oleh pegawai universiti sehingga 2016, dan dibenarkan untuk bersara menerusi perjanjian dengan universiti.
Polis Los Angeles membuka siasatan pada 2019 dan doktor itu ditangkap serta didakwa dengan pertuduhan serangan seksual.
Tyndall kini menunggu untuk dibicarakan dan berdepan dengan hukuman penjara sehingga 53 tahun jika disabitkan kesalahan.
Namun, bekas pensyarah itu menafikan kesemua dakwaan dan yakin dia akan dibebaskan daripada tuduhan terbabit. – AFP










