WASHINGTON: Lebih daripada separuh kanak-kanak berusia 10 tahun di seluruh dunia dijangka tidak boleh membaca dan memahami ayat yang dituturkan menjelang penghujung tahun ini.
Menurut analisis dilakukan oleh ONE Campaign yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), kira-kira 70 juta kanak-kanak boleh terjejas akibat masalah itu pada tahun ini.
Jumlah itu adalah pengiraan berdasarkan data populasi yang dikeluarkan oleh bank Dunia, Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Berdasarkan laporan tersebut, pandemik Covid-19 menyumbang sebanyak 17 peratus kepada jumlah keseluruhan golongan kanak-kanak yang tercicir dalam pendidikan global.
Hampir kebanyakan sekolah ditutup di seluruh dunia untuk tempoh lama sepanjang tahun lalu ketika kerajaan semua negara melaksanakan sekatan untuk mengurangkan jangkitan Covid-19.
Menurut UNESCO, sebanyak 1.7 bilion kanak-kanak di 188 buah negara terjejas akibat penutupan sekolah sepanjang tahun lalu.
Penutupan sekolah menyaksikan kaedah pembelajaran ditukar secara dalam talian, namun alternatif itu tidak boleh dilakukan di kawasan pedalaman yang kekurangan akses serta infrastruktur.
PBB menganggarkan hampir 500 juta kanak-kanak, terutamanya yang tinggal di negara miskin atau kawasan pedalaman tercicir dalam kaedah pembelajaran baharu itu.
Afrika, Asia paling teruk
Analisis yang dilakukan oleh ONE Campaign menunjukkan krisis pendidikan dijangka memberi kesan teruk kepada Afrika dan Asia.
Menjelang 2030, jumlah kanak-kanak yang kekurangan pendidikan ketika berusia 10 tahun boleh meningkat kepada 750 juta atau dianggarkan seorang bagi setiap 10 kanak-kanak secara global.
Pengarah Eksekutif Polisi Global di ONE Campaign, David McNair berkata, keupayaan kanak-kanak untuk memahami struktur ayat menjelang usia 10 tahun merupakan langkah penting.
“Masalah ini (tidak boleh membaca) memberi kesan besar terhadap keupayaan seseorang untuk mendapat pendidikan, pekerjaan, pendapatan dan pelbagai lagi.
“Melainkan kita mengambil langkah segera kerana pandemik Covid-19 yang berlaku ketika ini bakal menyaksikan jutaan kanak-kanak tidak mampu membaca pada masa akan datang,” katanya.
Bantuan segera
ONE Campaign menggesa kerajaan beberapa negara supaya menyumbang sekurang-kurangnya AS$5 bilion (RM20.6 bilion) untuk membiayai Rakan Global untuk Pendidikan (GPE).
Jelas organisasi itu, dana tersebut boleh membantu 175 juta kanak-kanak di seluruh dunia mendapat pendidikan antara 2021 hingga 2025.
Selain itu, organisasi berkenaan turut nebyeru agar kerajaan negara maju menyokong kewangan negara-negara membangun menerusi pakej rangsangan dan penangguhan bayaran hutang supaya negara terlibat boleh menggunakan dana yang ada untuk melabur dalam sektor pendidikan.
“Saya rasa ini merupakan perkara paling tepat untuk dilakukan. Adalah tidak adil untuk kanak-kanak tidak mendapat pendidikan hanya kerana mereka dilahirkan di tempat yang miskin atau terpinggir.
“Pendidikan adalah hak semua dan jika kita tidak hulurkan bantuan awal, masalah akan menjadi lebih teruk,” ujar McNair.
Beliau memberi gambaran pandemik Covid-19 dapat diatasi sekiranya dunia sudah membuat persediaan awal dan begitu juga dengan pendidikan.
– AGENSI










