PARIS: Lebih 400 juta dos suntikan vaksin Covid-19 sudah digunakan di seluruh dunia sehingga kelmarin.
Walaupun lebih 20 negara menggantung penggunaan vaksin keluaran AstraZeneca, program vaksinasi menentang ancaman Covid-19 masih berjalan lancar dan cepat.
Sebagai contoh, 100 juta penduduk kumpulan terakhir yang sudah divaksin menerima suntikan tersebut dalam tempoh 11 hari iaitu enam kali lebih cepat berbanding dengan kumpulan 100 juta pertama penerima vaksin.
Sehingga kelmarin, sebanyak 402.3 juta dos vaksin sudah diberikan kepada lebih 158 negara di seluruh dunia.
Negara-negara miskin juga sudah memulakan vaksinasi Covid-19 menerusi program Covax.
Dalam pada itu, Israel masih mendahului semua negara dalam ‘perlumbaan vaksinasi’ apabila hampir tiga daripada lima setiap penduduknya sudah menerima satu suntikan dos dan separuh diberikan suntikan dos kedua.
Kedudukan itu diikuti oleh United Kingdom (38 peratus), Emiriah Arab bersatu (antara 35 dan 70 peratus), Chile (28 peratus), Amerika Syarikat (22 peratus), Bahrain (22 peratus) dan Serbia (16 peratus).
Dari segi jumlah edaran vaksin yang diberikan, AS mendahului dengan 113 juta dos suntikan, disusuli China dengan 65 juta, India (39 juta) dan UK (27.6 juta).
Kesatuan Eropah (EU) pula sudah memberi sebanyak 54.4 juta dos suntikan kepada 8.5 peratus populasi dalam blok tersebut.
Selain itu, sembilan daripada 13 negara miskin sudah memulakan program vaksinasi menggunakan bekalan vaksin percuma yang disumbangkan oleh Covax.
Hanya 0.1 peratus daripada dos suntikan yang direkodkan di seluruh dunia diberikan kepada penduduk di negara miskin.
Vaksin keluaran AstraZeneca menjadi vaksin Covid-19 paling banyak digunakan iaitu di 100 negara.
Vaksin kedua paling banyak digunakan adalah keluaran Pfizer iaitu di lebih 70 negara, diikuti Moderna (lebih 40 negara), Sputnik V (lebih 20 negara), Sinovac (lebih 20 negara). – AFP










