COX’S BAZAR: Satu kebakaran besar memusnahkan sejumlah kem pelarian etnik Rohingya di sini semalam, menyebabkan sekurang-kurangnya 15 maut dan 50,000 kehilangan tempat berlindung.
Hampir sejuta pelarian Rohingya dari negeri Rakhine di Myanmar tinggal dalam keadaan daif di beberapa kem pelarian di daerah Cox’s Bazar sejak 2017.
Kebakaran itu merupakan kali ketiga berlaku dalam tempoh empat hari.
Menurut pihak berkuasa Bangladesh, kebakaran bermula semalam di satu daripada 34 kem yang terletak di kawasan seluas 3,237 hektar sebelum merebak ke tiga lagi kem dan pelarian mula melarikan diri.
Asap tebal menyelubungi kawasan sekitar ketika ratusan anggota bomba bertungkus-lumus memadam kebakaran dan menyelamatkan pelarian.
Api berjaya dikawal pada tengah malam dengan dua kanak-kanak, seorang wanita serta empat lelaki merupakan antara mangsa yang maut dalam insiden tersebut.
Timbalan Pesuruhjaya Pelarian Bangladesh, Shamsud Douza berkata, kebakaran itu merupakan yang terbesar sejak Ogos 2017, menyaksikan kira-kira 2,000 pondok hangus terbakar.
“Bantuan makanan dan perubatan turut disalurkan kepada pelarian yang kehilangan tempat tinggal,” katanya.
Sementara itu, punca kebakaran masih belum diketahui. – AFP










