Vaksin Covid-19: Eropah abai pesakit mental? - Utusan Malaysia

Vaksin Covid-19: Eropah abai pesakit mental?

SEMAKIN ramai golongan ibu bapa di Singapura menghantar anak-anak menjalani rawatan mental. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Kebanyakan negara Eropah tidak mengendahkan pesakit mental dalam pelan stregi vaksin Covid-19 mereka biarpun golongan tersebut juga berisiko tinggi untuk dijangkiti koronavirus.

Hanya empat daripada 20 negara Eropah yang melihat pesakit mental sebagai golongan berisiko dan memerlukan perhatian perubatan, selain menyediakan kemudahan vaksin untuk mereka.

Empat negara itu adalah Britain, Denmark, Jerman dan Belanda.

Menurut ketua penyelidik, Livia De Picker dari Universiti Psikiatri Kampus Duffel di Belgium, golongan pesakit mental sering dipinggirkan dan sudah tiba masanya keadaan itu berubah.

“Beberapa kajian sebelum ini menunjukkan jika anda mempunyai masalah gangguan jiwa, anda berisiko dijangkiti Covid-19 sehingga 65 peratus dan mereka yang dalam keadaan lebih teruk berdepan risiko kematian antara 1.5 hingga dua kali lebih tinggi,” katanya.

Hasil kajian tersebut diterbitkan dalam jurnal Psikiatri Lancet semalam.

Para penyelidik yang melakukan kaji selidik berserta sejumlah klinik dan organisasi kesihatan mental Eropah menggesa Kesatuan Eropah (EU) mewujudkan tahap piawaian serantau bagi memastikan pesakit mental mendapat keutamaan vaksin.

“Kebanyakan negara sering melihat apa yang berlaku di tempat lain ketika menetapkan keutamaan vaksin.

“Hanya segelintir negara yang mengutamakan kesihatan mental dan keadaan ini secara tidak langsung menyebabkan pengabaian terhadap golongan tersebut,” ujar penulis bersama kajian tersebut, Marion Leboyer.

Jelasnya, masalah itu sangat besar di Eropah dan akan berterusan jika tiada sebarang langkah konkrit diambil segera.

 

Kenapa pesakit mental berisiko tinggi?

Kebanyakan pesakit mental mempunyai masalah kesihatan termasuk obesiti, penyakit kardiovaskular, diabetes dan penyakit jangkitan saluran pernafasan.

Selain itu, peratusan perokok dalam kalangan pesakit mental juga dua hingga tiga kali ganda lebih tinggi berbanding orang sihat, sekali gus menyebabkan mereka berdepan dengan pelbagai jenis penyakit terutamanya berkaitan pernafasan.

Gangguan tidur yang merupakan kebiasaan dalam kalangan pesakit mental yang serius juga dikaitkan dengan sistem imun tubuh yang lemah dan keadaan itu memberi ruang untuk golongan tersebut dijangkiti pelbagai penyakit termasuk koronavirus.

 

Tanggapan positif

Berdasarkan eksperimen yang mengkaji kesediaan golongan yang menghidap penyakit skizofrenia mengenai langkah perlindungan semasa pandemik influenza H1N1 di Australia pada 2009, sebanyak 74 peratus daripadanya bersetuju untuk disuntik vaksin.

Satu lagi kajian yang dilakukan sebelum itu juga menunjukkan kira-kira 84 peratus pesakit yang dirawat kerana masalah mental di klinik kesihatan mental komuniti Amerika Syarikat (AS), secara umumnya menganggap vaksin adalah selamat, berkesan dan penting. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya