fbpx

11 April 2021, 2:01 pm

  TERKINI

Ribuan pekerja asing mati di Qatar

QATAR bina stadium al-Janoub di Doha untuk Piala Dunia 2022 - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Lebih 6,500 pekerja asing dari India, Pakistan, Nepal, Bangladesh dan Sri Lanka dilaporkan meninggal dunia di Qatar sejak negara itu menang hak untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia pada 10 tahun lalu. 

Ini bermakna, purata 12 pekerja asing dari lima negara Asia Selatan meninggal dunia setiap minggu sejak Disember 2010 ketika Qatar meraikan kemenangan untuk menganjur acara sukan bertaraf dunia itu.

Lapor The Guardian,  penemuan itu berdasarkan data yang diperoleh dari beberapa sumber kerajaan.

Data dari India, Bangladesh, Nepal dan Sri Lanka mendedahkan sebanyak 5,927 kes kematian pekerja asing direkodkan sepanjang tempoh 2011 hingga 2020. 

Kedutaan Pakistan di Qatar pula melaporkan sebanyak 824 tambahan kes kematian pekerja warganegaranya antara tahun 2010 dan 2020. 

Jumlah keseluruhan itu dilihat jauh lebih tinggi kerana angka tersebut tidak merangkumi kes kematian dari negara yang menghantar sebahagian besar pekerja ke Qatar seperti Filipina dan Kenya. 

Qatar merupakan negara Islam Asia Barat pertama dipilih menjadi tuan rumah Piala Dunia edisi ke-22 yang dijadual berlangsung pada akhir November hingga perte­ngahan Disember 2022.

Sejak 10 tahun lalu, Qatar menceburi beberapa projek pembangunan yang sebahagian besar sebagai persediaan untuk menganjurkan Piala Dunia 2022.  

Dalam pada itu, Pengarah Projek FairSquare, Nick McGeehan berkata, meskipun kes kematian yang direkodkan itu tidak dikategorikan mengikut pekerjaan mahupun tempat kerja, kemungkinan besar ramai golongan pekerja yang maut itu bekerja di bawah projek infrastruktur Piala Dunia.  

“Sebahagian besar pekerja asing yang meninggal dunia sejak tahun 2011 hanya berada di negara itu kerana Qatar menang proses bidaan untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia,” kata McGeehan daripada kumpulan penyokong hak pekerja di negara Teluk itu. 

Sebelum ini, terdapat 37 kes kematian dilaporkan dalam kalangan pekerja yang berkaitan secara langsung dengan projek pembinaan stadium Piala Dunia.

Bagaimanapun, laporan media itu mendakwa jawatankuasa penganjur acara mengklasifikasikan 34 kes kematian tersebut sebagai tidak berkaitan dengan pekerjaan.  

Para pakar tampil mempersoalkan mengenai penggunaan istilah tersebut kerana dalam beberapa kes, ia digunakan untuk menggambarkan kematian yang berlaku di tempat kerja termasuk sebilangan pekerja yang pengsan dan meninggal dunia di tapak pembinaan stadium.

Penemuan itu mendedahkan kegagalan Qatar untuk melindungi kira-kira dua juta pekerja asing yang bekerja di negara itu atau menyiasat punca jumlah kematian tinggi dalam kalangan pekerja muda.

Angka kematian di Qatar didedahkan selepas data rasmi menyenaraikan beberapa punca kematian antaranya kecederaan kerana jatuh dari ketinggian, asfiksia kerana gantung dan faktor-faktor yang tidak dapat ditentukan kerana proses penguraian. 

Namun, punca yang paling biasa digunakan adalah kematian semulajadi yang sering dikaitkan dengan penyakit jantung atau kegagalan pernafasan.  

Berdasarkan data yang diperoleh The Guardian, sebanyak 69 peratus kes dalam kalangan pekerja India, Nepal dan Bangladesh diklasifikasikan sebagai kematian semulajadi.

The Guardian sebelum ini melaporkan bahawa klasifikasi sedemikian yang biasanya dibuat tanpa bedah siasat, sering gagal memberikan penjelasan perubatan sah kepada punca kematian berkenaan. -AGENSI