Rampasan kuasa jejas usaha pembangunan Myanmar - Utusan Malaysia

Rampasan kuasa jejas usaha pembangunan Myanmar

PASUKAN tentera berkawal di pintu masuk sebuah kediaman yang menjadi tempat tahanan beberapa pemimpin politik di Naypyidaw, Myanmar. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YANGON: Usaha pembangunan di Myanmar yang merupakan antara negara termiskin di Asia Tenggara dilihat sia-sia apabila rampasan kuasa yang berlaku hanya mengheret negara ini ke arah kemiskinan tegar.

Ketenteraan Myanmar memberi alasan tindakan rampasan kuasa itu dilakukan kerana ingin ‘membebaskan negara ini daripada penipuan politik’ apabila menolak keputusan pilihan raya umum lepas.

Namun, pakar ekonomi melihat situasi itu hanya akan mengheret Myanmar serta penduduknya ke arah yang lebih ‘tertekan dan susah’, malah tidak mustahil jika negara ini akan terus miskin sampai bila-bila.

Keadaan tegang yang dialami Myanmar ketika ini diburukkan pula dengan pengumuman Amerika Syarikat (AS) untuk mengenakan sekatan tambahan terhadap negara ini.

Menurut Bank Dunia, Singapura merupakan pelabur terbesar di Myanmar pada tahun lalu dengan nilai pelaburan sebanyak 34 peratus dan Hong Kong berada di tempat kedua dengan 26 peratus.

Sehubungan itu, institusi kewangan dunia tersebut melahirkan kebimbangan berhubung perancangan negara ini untuk melakukan peralihan dan pembangunan prospek.

Selain itu, Bank Dunia juga bimbang mengenai keadaan kakitangan serta rakan dagangnya di negara ini selepas pihak tentera menyekat akses komunikasi dengan dunia luar.

“Sejak beberapa dekad lalu, Bank Dunia sentiasa menyokong Myanmar dalam membangunkan peralihan demokrasi serta mencapai pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan.

“Walaupun keadaan ketika ini agak tegang, Bank Dunia komited untuk terus membantu Myanmar, terutamanya demi kelangsungan sosial dan kebajikan rakyatnya,” jelas bank tersebut menerusi satu kenyataan.

Pada tahun lalu, Bank Dunia meminjamkan dana sebanyak AS$900 juta (RM3.6 bilion) kepada Myanmar dan AS$616 juta (RM2.5 bilion) pada 2017.

Sejak demokrasi bermula di negara ini pada 2011, terdapat peningkatan positif melibatkan kebajikan rakyat apabila kadar kemiskinan menurun sehingga 25 peratus pada 2017 berbanding 48 peratus pada 2005.

Namun, momentum reformasi itu mula merosot selepas 2016 ketika negara ini bertungkus lumus menetukan hala tuju visi ekonomi.

 

Pecat seluruh Kabinet

Beberapa jam selepas melakukan rampasan kuasa, ketenteraan Myanmar mengumumkan penyingkiran kesemua 24 menteri dan timbalan menteri dalam Kabinet kerajaan pimpinan Parti LIga Demokrasi Kebangsaan (NLD).

Tentera Myanmar juga menamakan 11 pelantikan dalam pentadbiran baharu termasuk portfolio untuk sektor kesihatan, kewangan, sumber maklumat, hal ehwal luar negara, pertahanan, sempadan dan hal ehwal negeri.

Jurucakap ketenteraan juga memaklumkan Ketua Tentera Myanmar, Jeneral Min Aung Hlaing komited untuk mewujudkan ‘sistem demokrasi parti yang berdisiplin’.

 

NLD gesa Suu Kyi dibebaskan

NLD terus menggesa agar pemimpin parti tersebut, Aung San Suu Kyi dibebaskan termasuk beberapa pemimpin politik yang lain.

“Bebaskan kesemua tahanan termasuk Suu Kyi dan Presiden Win Myint. Ketenteraan Myanmar juga perlu mengiktiraf keputusan pilihan raya yang sudah termaktub sebelum ini,” gesa NLD menerusi laman Facebook.

Selain itu, parti tersebut juga menyifatkan rampasan kuasa yang berlaku mencalarkan sejarah Myanmar dan Perlembagaan negara ini.

Sehingga kini, tidak dapat dipastikan berapa jumlah ahli NLD dan ahli Parlimen yang ditahan tentera.

Menurut sumber, kira-kira 25 ahli NLD dikenakan tahanan rumah di Naypyidaw.

 

Kawalan ketat

Menerusi perbualan telefon, seorang ahli Parlimen dari NLD memaklumkan pergerakan mereka dikawal ketat oleh tentera.

“Kami tidak dibenarkan keluar dan kami sangat bimbang biarpun tentera memaklumkan keadaan semuanya baik.

“Kami juga amat bimbangkan keadaan Suu Kyi dan Win Myint, kami berharap dapat mengetahui keadaan mereka dalam kadar segera,” katanya.

Sementara itu, pasukan tentera memenuhi sekitar Naypyidaw dengan banyak jalan disekat. – AFP/AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya