LONDON: Kebanyakan pelajar asing yang berada di United Kingdom (UK) berdepan dengan kekurangan sumber makanan akibat pandemik Covid-19 yang melanda sejak tahun lalu.
Situasi itu dapat dilihat apabila berpuluh-puluh golongan pelajar sanggup beratur di luar bangunan Projek Komuniti Newham yang merupakan organisasi kebajikan untuk mendapatkan beras, sayur-sayuran dan makanan keperluan lain.
Mereka yang asalnya ingin menyambungkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, kini berhadapan situasi di luar jangkaan akibat virus yang merebak.
Seorang pelajar dari India, Jay Patel, 19, berkata, amat susah untuk mendapatkan bekalan makanan kerana harga jauh lebih tinggi berbanding di India.
Dia yang melanjutkan pelajaran di Universiti Greenwich di London, berkata, situasi sekarang amat sukar untuk mendapat pekerjaan sambilan dan tidak sesekali meminta wang daripada keluarganya di India.
“Sebenarnya, saya sampai pada waktu yang salah. Ia merupakan situasi yang sangat sukar dan tanpa sokongan seperti ini, saya rasa kami akan kebuluran,” luahnya.
Bank makanan yang diadakan sebanyak tiga kali seminggu, kini menjadi harapan buat pelajar asing yang bergelut dengan masalah itu.
Berdasarkan Agensi Statistik Pendidikan Tinggi, majoriti pelajar asing di Britain adalah bukan rakyat Eropah dengan lebih 400,000 mengunjungi negara ini tahun lalu serta kebanyakan datang dari China dan India.
Pengurus Projek Komuniti Newham, Elyas Ismail berkata, organisasi itu ditubuhkan pada 2008 bagi membantu golongan memerlukan.
Jelasnya, kebanyakan pelajar yang datang ke tempatnya adalah daripada golongan miskin, malah, keluarga mereka sanggup menjual barangan kemas demi membiayai kos pengajian di UK.
“Kami bermula dengan 20 bungkusan makanan, dalam beberapa minggu kami berjaya mengumpulkan 800 pelajar.
“Kami lihat keperluan ini adalah sangat besar, jadi kami memutuskan untuk meneruskannya dan bilangan semakin bertambah pada setiap minggu,” katanya. -AFP










