Hampir tersalah kebumi jenazah, sukarelawan dipukul - Utusan Malaysia

Hampir tersalah kebumi jenazah, sukarelawan dipukul

SEORANG sukarelawan Hospital Umum Daerah Saiful Anwar pengsan akibat dipukul keluarga jenazah pesakit Covid-19 kerana tertukar keranda. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Seorang sukarelawan yang menguruskan pengebumian jenazah pesakit Covid-19 di Malang, Jawa Timur pengsan selepas dipukul ahli keluarga pesakit yang meninggal.

Akibat insiden itu, sukarelawan yang dikenali sebagai Alfa itu dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Lapor Kompas.com, insiden itu berlaku selepas jenazah pesakit Covid-19 itu tertukar ketika ingin dikebumikan.

Penyelaras Pusat Keselamatan Awam (PSC) 119 Pejabat Kesihatan Malang, Dhana Setiawan berkata, mulanya terdapat enam jenazah yang akan dikebumikan dan petugas lapangan mendahulukan jenazah dengan nombor giliran lima.

Hal ini kerana jenazah nombor lima dan nombor tiga akan dikebumikan di lokasi yang sama.

Namun, hal itu tidak dipersetujui keluarga jenazah nombor empat dan meminta dikebumikan dahulu.

“Kerana tidak sabar, keluarga jenazah mengadu hal tersebut kepada petugas pengebumian iaitu Tri Erwanto dan Alfa.

“Kemudian, petugas bergegas membawa keranda jenazah nombor empat itu untuk dikebumikan dan mereka tidak menyedari bahawa keranda itu sebenarnya adalah milik jenazah nombor enam,” katanya.

Jelas Dhana, kesilapan itu disedari ahli keluarga jenazah nombor empat ketika keranda hampir dimasukkan ke liang lahad.

“Ahli keluarga menyedari nama pada keranda itu bermula dengan huruf S, walhal nama jenazah bermula dengan huruf W dan berang dengan keadaan itu, mereka memukul petugas pengebumian termasuk Alfa,” ujarnya.

Dhana menyatakan petugas tidak sengaja tertukar jenazah, selain mereka dilanda keletihan ekoran perlu menguruskan banyak jenazah Covid-19.

Sementara itu, polis Malang menahan dua ahli keluarga jenazah nombor empat bagi membantu siasatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya