JAKARTA: Nama atlet e-sukan Indonesia, Winda Earl menjadi tular selepas misteri kehilangan wang berjumlah 20 bilion rupiah (RM5.7 juta) miliknya yang disimpan dalam akaun Maybank menjadi perbualan hangat dalam media sosial.
Lapor TribunNews, sehingga kini kehilangan duit itu masih menjadi tanda tanya.
Winda menuntut Maybank bertanggungjawab menggantikan wangnya hilang.
“Simpanan pengguna adalah dana milik pengguna. Kita minta wang tersebut dikembalikan dan minta Maybank bertanggungjawab kerana mereka yang menguruskan duit pelanggan,” katanya.
Pada 8 Mei lalu, seorang wartawan, Herman Lunardi yang juga bapa kepada Winda membuat laporan polis pada 8 Mei lalu selepas anak dan isterinya memaklumkan duit simpanan mereka dalam Maybank hilang.
Agensi Penyiasatan Jenayah Polis Indonesia (Bareskrim) memaklumkan Ketua Maybank cawangan Cipulir di sini disyaki terlibat dalam kes kehilangan duit tersebut dan siasatan masih berjalan.
Sementara itu, pihak Maybank melantik peguam terkenal, Hotman Paris Hutapea bagi mengendalikan kes tersebut.
Menurut bank itu, pihaknya bersedia untuk menggantikan semula wang simpanan Winda yang hilang.
Bagaimanapun katanya, pihak polis perlu mendedahkan fakta sebenar kes tersebut.
“Maybank perlu tahu hal sebenar menerusi kes yang dilaporkan dan polis perlu memaklumkan kepada kami kronologi kes.
“Bank kami boleh mengganti semula duit Winda, namun bagaimana jika ada pihak lain yang terlibat? Sehubungan itu, Maybank akan menunggu maklumat lengkap dari polis sebelum membayar semua duit Winda yang hilang,” ujarnya.









