JAKARTA: Satu kaji selidik dilakukan oleh Populi Center mendedahkan Ketua Umum Gerinda, Prabowo Subianto merupakan calon presiden paling kuat bagi Pilihan Raya Presiden 2024 (Pilpres 2024).
Lapor CNN Indonesia, tahap kebolehupayaan Menteri Pertahanan itu bahkan menewaskan calon potensi lain seperti Gabenor Jawa Tengah, Ganjar Pranowo dan Gabenor Jakarta, Anies Baswedan dalam kajian tersebut.
Tinjauan Populi Center mendapati tahap kebolehupayaan Prabowo mencatatkan sebanyak 18.3 peratus, hampir dua kali ganda berbanding Ganjar dan Anies.
“Prabowo menjadi pemimpin yang paling diharapkan oleh masyarakat sebagai calon presiden pada 2024 dengan mencatatkan sebanyak 18.3 peratus,” jelas Populi Center dalam satu kenyataan.
Tahap kebolehupayaan Ganjar mencatatkan 9.9 peratus manakala Anies pula sebanyak 9.5 peratus dalam senarai tersebut.
Pendakwah Abdul Somad berada pada tangga keempat dalam senarai itu dengan tahap kebolehupayaan merekodkan 6.2 peratus diikuti Gabenor Jawa Barat, Ridwan Kamil (5.8 peratus), Timbalan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Gerindra, Sandiaga Uno (4.8 peratus) dan Datuk Bandar Surabaya, Tri Rismaharini (4.2 peratus).
Beberapa nama lain turut tersenarai antaranya Ketua Umum Parti Demokrat, Agus Harimurti Yudhoyono, bekas Panglima Tentera Indonesia, Gatot Nurmantyo, Gabenor Jawa Timur, Khofifah Indar Parawansa dan Menteri Badan Usaha Milik Negara (BUMN) Erick Thohir.
Kajian dijalankan pada 21 hingga 30 Oktober lalu di 100 daerah atau bandar yang tersebar secara berkadar di 34 wilayah di Indonesia.
Seramai 1,000 responden terlibat dalam kaedah pensampelan secara rawak di pelbagai peringkat.
Sebelum ini, sekurang-kurangnya lima kaji selidik pernah menyatakan Prabowo mempunyai tahap kebolehupayaan tertinggi sebagai calon presiden Pilpres 2024.









