RIYADH: Kempen memboikot barangan keluaran Perancis oleh Asia Barat ketika ini menyaksikan negara itu bakal mengalami kerugian sebanyak AS$22 bilion (RM91 bilion).
AlKhaleej Today melaporkan, kerugian itu tidak termasuk boikot yang dilancarkan di seluruh negara Islam lain di dunia.
Seruan boikot produk Perancis mendapat sokongan hebat dan begitu meluas di Asia Barat yang merugikan ekonomi negara pimpinan Presidennya, Emmanuel Macron yang turut terjejas akibat pandemik Covid-19.
Kejatuhan ekonomi itu diramalkan oleh Pengarah Pusat Kajian dan Penyelidikan Ekonomi Teluk di Kuwait, Abdulaziz Al-Muzaini yang berkata, ekonomi Perancis akan mengalami kerugian besar sekitar AS$22 bilion hanya bagi negara Asia barat sekiranya boikot berlanjutan selama sebulan.
Abdulaziz berkata, berdasarkan statistik 2019, nilai pertukaran perdagangan antara Perancis dengan negara Asia Barat menghampiri AS$60 bilion (RM249 bilion), sementara Arab Saudi di kedudukan pertama dengan AS$27 bilion (RM112), diikuti Emiriah Arab Bersatu (UAE) AS$12 bilion (RM50 bilion); Kuwait AS$9 bilion (RM37 bilion) dan Qatar AS$7 bilion (RM29 bilion).
Sektor makanan merupakan senarai eksport paling tinggi Perancis ke negara-negara tersebut diikuti persenjataan dan pakaian.
Nilai eksport Perancis ke tujuh negara Arab tahun lalu bernilai AS$29 bilion (RM120 bilion) iaitu paling banyak di Maghribi dan Algeria.
Nilai eksport Perancis ke Turki tahun lalu berjumlah sekitar AS$6.6 bilion (RM27 bilion) dan laporan itu mendapati nilai eksport ke lapan negara iaitu Turki, Algeria, Maghribi, Qatar, Tunisia, UAE, Arab Saudi dan Mesir pada tahun lalu mencecah AS$35 bilion (RM145 bilion).
Sementara itu, portal RFI mengesahkan bahawa kempen boikot boleh menjejaskan banyak syarikat Perancis dan tidak terhad pada barang makanan, kerana sebanyak 430 agensi pelancongan menangguhkan pembelian tiket penerbangan ke Perancis.










