HONG KONG: Taikun media Hong Kong, Jimmy Lai mendedahkan beliau secara tidak sengaja ‘membiayai’ satu laporan yang digunakan dalam teori konspirasi untuk menjatuhkan calon Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menjelang Pilihan Raya Presiden AS pada 3 November ini.
Lapor South China Morning Post, Jimmy menerusi Twitternya memaklumkan pembantunya, Mark Simon menggunakan duit syarikat persendirian beliau tanpa pengetahuannya untuk membiayai laporan tersebut untuk menuduh anak lelaki Biden, Hunter mempunyai hubungan dengan ahli perniagaan dari China.
Jimmy yang secara terbuka menyokong Presiden Donald Trump dalam pilihan raya presiden AS 2020 menegaskan bahawa beliau tidak mempunyai kaitan langsung dengan laporan palsu berkenaan.
Syarikat tabloid Apple Daily miliknya juga mengeluarkan kenyataan bahawa taikun media itu tidak terlibat dalam sebarang konspirasi menjatuhkan Biden.
Dalam pada itu, Simon yang pernah bekerja untuk perisikan Tentera Laut AS dan kini bertugas sebagai pembantu Jimmy mengakui bahawa dia mengambil duit dari akaun majikannya.
Beberapa jam selepas pengakuan itu, Simon menerusi satu surat memaklumkan dia meletak jawatan sebagai pembantu Jimmy.
Menurut sumber, Simon membayar sebanyak AS$10,000 (RM41,534) selama enam bulan kepada seorang anggota tentera AS yang dikenal pasti sebagai Christopher Balding untuk merisik kepentingan perniagaan keluarga Biden di China.
Sumber itu juga memaklumkan Simon tidak menyedari Balding akan menulis semua hasil dapatannya dalam satu laporan setebal 64 muka surat.
Laporan yang ditulis menggunakan nama penganalisis keselamatan dari Sweden iaitu Martin Aspen itu kemudiannya disebarkan ke media.
Sementara itu, pasukan kempen Biden menolak laporan tersebut dan menyifatkannya sebagai ‘maklumat jahat’ untuk mengelirukan pengundi.










