Anak atau duit lebih penting? - Utusan Malaysia

Anak atau duit lebih penting?

HASRAT membaiki kehidupan ke arah lebih baik menyebabkan banyak wanita Filipina memilih berhijrah ke luar negara untuk bekerja. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANILA: Tiada ibu yang sanggup meninggalkan anak-anak mereka, namun di Filipina, situasi itu tidak memberi pilihan yang pelbagai.

Disebabkan kesukaran untuk mendapat pekerjaan di tempat sendiri, dianggarkan 2.2 juta rakyat negara ini berhijrah ke luar negara bagi mencari sesuap rezeki pada tahun lalu.

Menurut Pihak Berkuasa Statistik Filipina, majoriti daripada jumlah tersebut melibatkan golongan wanita yang kebanyakannya bekerja sebagai jururawat, pekerja pusat jagaan, pengasuh kanak-kanak dan tukang cuci.

Pada tahun lalu, golongan itu menghantar wang sebanyak AS$33.5 bilion (RM137 bilion) ke Filipina sebagai kiriman duit peribadi.

Biarpun penghijrahan itu dijamin memberi pulangan wang yang banyak, kebanyakan golongan wanita Filipina terpaksa membuat pilihan sama ada sanggup berpisah dengan anak demi mencari rezeki, atau terus hidup mundur di tempat sendiri.

Lantaran itu, CNN mengadakan temu bual bersama beberapa wanita negara ini yang berhijrah ke luar negara dan pandangan mereka mengenai isu tersebut

 

‘Anak tidak kenal saya’

Dolores boleh kira dengan jari berapa kali dia pernah bertemu dengan anak lelakinya yang berusia tujuh tahun.

Wanita itu meninggalkan anak tunggalnya kepada ibu bapanya di Filipina ketika kanak-kanak itu berusia enam bulan untuk meneruskan pekerjaan di Hong Kong.

Tanpa diberi faedah cuti dan duit yang mencukupi, keadaan itu menjadi kekangan untuk Dolores pulang ke Filipina sehinggalah anaknya berusia dua tahun setengah.

“Situasi itu sangat sukar, saya tinggalkan anak saya ketika dia tidak tahu apa-apa dan bila kembali, dia sudah boleh berlari, bercakap dan semestinya tidak mengenali saya sebagai ibu.

“Siapa yang mahu tinggalkan anak? tapi kami di sini (Filipina) tidak mempunyai pilihan yang lebih baik,” katanya.

 

‘Saya tidak pernah rasa jauh’

Bagi Divina Valdel, dia tidak pernah merancang untuk bekerja di luar negara, namun dia terpaksa membuat keputusan tersebut apabila memikirkan tentang tiga anaknya yang semakin membesar dan mereka memerlukan duit yang banyak untuk pendidikan.

“Saya meninggalkan anak-anak saya ketika mereka baru berusia 10 tahun dan menghabiskan masa selama enam tahun bekerja di Taiwan dan Hong Kong.

“Saya sentiasa rindukan anak-anak biarpun mereka rasa janggal dengan saya,” ujarnya.

Penat lelah Divina berbaloi apabila hasil titik peluhnya berjaya memberi pendidikan terbaik untuk ketiga-tiga anaknya dengan mereka kini bekerja sebagai jurutera, guru dan jururawat.

 

KADAR kelahiran yang tinggi di Filipina menyebabkan jumlah tenaga buruh melebihi pembangunan ekonomi, sekali gus meningkatkan pengangguran. – AFP

‘Kenapa ibu jaga anak orang lain?’

Desakan hidup yang melampau berserta duit simpanan yang semakin menyusut mendorong Catalina Magno berhijrah ke Hong Kong dan meninggalkan dua anaknya yang berusia setahun dan empat tahun pada 2001.

“Matlamat saya hanya satu iaitu cari duit untuk pastikan anak-anak saya mendapat pendidikan yang sewajarnya.

“Namun, tahun demi tahun, mereka mula mempersoalkan kenapa saya menjaga anak orang lain dan bukannya mereka?.” katanya.

Catalina menjelaskan pada dua anaknya bahawa apa yang dia lakukan adalah ‘timbal balik’ demi memberikan pendidikan yang terbaik untuk mereka.

Kira-kira 400,000 pekerja Filipina di Hong Kong akan menerima gaji sekurang-kurangnya AS$600 (RM2,455) sebulan dan jumlah itu jauh lebih banyak berbanding yang diterima di negara sendiri iaitu sekitar AS$213 (RM871).

Sementara itu, Presiden Filipina, Rodrigo Duterte sebelum ini melahirkan rasa bangga terhadap golongan pekerja ini yang disifatkannya membantu pembangunan ekonomi Filipina.

“Filipina amat perlukan sumbangan anda sebagai usaha untuk bangunkan negara. Justeru itu, saya minta supaya anda meneruskan apa yang dilakukan ketika ini (kerja di luar negara),” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya