WASHINGTON: Kerjasama antarabangsa yang kukuh dalam penghasilan vaksin Covid-19 boleh mempercepatkan pemulihan ekonomi dunia dan meningkatkan pendapatan global sebanyak AS$9 trilion (RM37 trilion) menjelang 2025.
Lapor Reuters, Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Kristalina Georgieva menggesa Amerika Syarikat (AS) dan China supaya mengekalkan stimulus ekonomi yang kukuh untuk membantu pemulihan ekonomi dunia.
Beliau menekankan vaksin Covid-19 perlu diedarkan secara menyeluruh di seluruh dunia sama ada di negara membangun mahupun negara maju.
Katanya, langkah itu penting untuk meningkatkan keyakinan dalam sektor pelancongan, pelaburan, perdagangan serta sosial di semua negara.
“Jika kita boleh meningkatkan kerjasama yang kukuh dan stabil dalam menghasilkan vaksin Covid-19, kita boleh mempercepatkan pemulihan ekonomi global.
“Kerjasama itu juga secara tidak langsung menambah pendapatan dunia menjelang 2025, sekali gus mengecilkan jurang pendapatan antara negara kaya dan miskin,” katanya.
Selain itu, Georgieva juga menyatakan akses yang adil dan berpatutan bagi mendapatkan rawatan serta vaksin Covid-19 di seluruh dunia boleh menjadi kunci untuk mengelakkan ekonomi dunia terus ‘tercalar’.
Georgieva menjelaskan beliau tidak ragu-ragu lagi bahawa Kongres AS dan White House akhirnya bersetuju untuk meluluskan satu lagi pakej bantuan, namun beliau tidak pasti bila rangsangan tersebut akan dilaksanakan.
“Perbelanjaan rangsangan AS sebanyak kira-kira AS$3 trilion (RM12.5 trilion) yang dikeluarkan pada awal tahun ini menjadi pendorong positif yang penting untuk pelbagai pihak dan kami berbesar hati jika pakej bantuan itu diteruskan pada masa akan datang,” ujarnya.
Dalam pada itu, jawatan kuasa IMF menjelaskan penglibatan pemiutang swasta dan dua hala dalam mengurangkan kadar hutang di negara miskin adalah sangat penting untuk membantu meningkatkan ekonomi.
Negara anggota kumpulan 20 (G20) kelmarin meluluskan Inisiatif Penangguhan Perkhidmatan Hutang (DSSI) dilanjutkan sehingga 2021 yang membolehkan negara-negara miskin menangguhkan pembayaran hutang selama tempoh yang dibenarkan.
Sementara itu, Georgieva turut memberi amaran bahawa pandemik Covid-19 boleh meninggalkan ‘parut ekonomi’ yang besar kepada penduduk dunia termasuk pertumbuhan pengeluaran yang perlahan, beban hutang lebih berat, kerapuhan sistem kewangan dan kadar kemiskinan lebih tinggi.
“Krisis yang berlaku ketika ini bukan perkara main-main dan jika tidak diatasi segera, lebih banyak kesan buruk akan berlaku berbanding kebaikan,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menekankan bahawa IMF sentiasa memberi sokongan penuh kepada semua negara yang terjejas.










