160 juta penduduk Asia ‘jatuh miskin’ - Utusan Malaysia

160 juta penduduk Asia ‘jatuh miskin’

SEORANG peniaga menunggu pelanggan di kedainya yang lengang di New Delhi, India. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANILA: Jika Mei lalu Bank Dunia memberi amaran ancaman krisis Covid-19 akan menyaksikan 60 juta penduduk dunia terjerumus ke dalam miskin tegar, Bank Pembangunan Asia (ADB) pula memperlihatkan data cukup ‘mengerikan’.

Ini apabila institusi berpangkalan di Manila, Filipina itu melaporkan langkah-langkah pencegahan Covid-19 bakal menyaksikan ratusan juta di Asia ‘masuk ke dalam garis kemiskinan’.

Langkah itu juga mewujudkan jurang ketidaksamaan lebih besar meliputi pelbagai industri di semua negara rantau Asia Pasifik.

Ketua Ekonomi ADB, Yasa­yuki Sawada berkata, Asia me­nunjukkan penurunan kadar kemiskinan secara dramatik ketika keluaran dalam negara kasar (KDNK) rantau ini mening­kat kepada satu per tiga ekonomi global dari suku tahun untuk tempoh 15 tahun terakhir.

“Namun disebabkan Co­vid-19, pertumbuhan ekonomi berada pada paras negatif me­nyaksikan kadar pendapatan menjadi lebih kecil dan golo­ngan berpendapatan rendah paling terjejas teruk.

“Berdasarkan penilaian ADB, dianggarkan lebih 160 juta orang di rantau ini bakal berada di bawah garis kemiskinan,” katanya seperti dilaporkan South China Morning Post.

Penilaian itu berdasarkan purata kadar kemiskinan dunia ia­itu sebanyak AS$3.20 (RM13.20) seorang untuk sehari.

Jelas Sawada, tanpa Covid-19, jumlah golongan miskin di Asia berkemungkinan terus merekodkan penurunan.

Jumlah golongan miskin atau disamakan dengan mempu­nyai kos hidup tidak melebihi AS$1.90 (RM7.80) sehari mungkin menyusut hingga 114 juta orang penghujung tahun ini.

Tetapi jika menggunakan purata AS$3.20 sebagai garis kemiskinan, angka tersebut dijangka turun sehingga 734 juta orang.

Pandemik Covid-19 secara tidak langsung merencatkan penurunan itu dengan ADB menganggarkan jumlah orang miskin di rantau Asia mungkin meningkat sehingga 192 juta orang menjelang penghujung tahun ini dengan menggunakan AS$1.90 sebagai garis kemiskinan atau sehingga 896 juta jika diukur dengan kadar AS$3.20.

“Golongan miskin termasuk yang bekerja sendiri merupakan golongan paling terjejas akibat Covid-19 kerana mereka tidak dapat mencari pendapatan de­ngan bekerja dari rumah seperti kumpulan pekerja lain.

“Sektor perniagaan mikro dan kecil turut menerima tempias situasi yang berlaku, maka pemain industri terpaksa memberhentikan pekerja yang kebanyakan terdiri daripada golongan kurang berkemampuan dalam skala besar,” kata Sawada.

Selain itu, kadar ekonomi di rantau Asia akan menguncup pada tahun ini buat pertama kali dalam tempoh hampir enam dekad, dengan tiga per empat ekonomi serantau dijang­ka mencatatkan pertumbuhan negatif.

ADB meramalkan secara ke­seluruhannya, KDNK untuk negara membangun di Asia menyu­sut 0.7 peratus tahun ini, sekali gus merekodkan pertumbuhan ekonomi negatif buat pertama kali sejak 1962.

Pertumbuhan ekonomi juga dianggarkan melonjak semula sehingga 6.8 peratus pada 2021, namun keadaan itu masih menyebabkan KDNK lebih rendah daripada jangkaan sebelum Covid-19.

Gambaran mengenai pertumbuhan ekonomi di rantau Asia menunjukkan pelbagai ‘ragam’ berdasarkan tahap kejayaan pencegahan Covid-19 yang dilakukan semua negara.

Sebagai contoh, keadaan ekonomi di China dan India adalah berbeza dengan Beijing mula menunjukkan pemulihan, manakala ‘kerapuhan ekonomi’ terus berlaku di New Delhi.

ADB menurunkan jangkaannya untuk pertumbuhan ekonomi di China kepada 1.8 peratus dari 2.3 peratus sebelum ini susulan fasa pemulihan yang perlahan biarpun dijangka me­ningkat sehingga 7.7 peratus tahun depan.

KDNK India pula diramalkan jatuh sehingga sembilan peratus tahun ini dan meningkat seba­nyak lapan peratus pada 2021.

Sementara itu, pandemik Covid-19 yang berpanjangan dilihat masih menjadi ‘punca utama’ kepada penyusutan pertumbuhan ekonomi di Asia sehingga tahun depan.

Beberapa faktor lain yang turut mempengaruhi kadar pertumbuhan termasuk isu geopolitik melibatkan perang ekonomi antara Amerika Syarikat (AS) dengan China.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.