fbpx

Kebiasaan lama? Tidak mungkin

KANAK-kanak di Baghdad, Iraq memakai pelitup muka serta pelitup hidung dan mulut kerana bimbang dijangkiti Covid-19. – AFP
  • Oleh Adlinahani Binti Khalil
  • 27 Julai 2020, 9:00 am
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Hampir 40 negara merekodkan peningkatan kes Covid-19 yang mendadak dalam tempoh sehari ini ketika Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran tiada kemungkinan untuk masyarakat dunia kembali kepada ‘kebiasaan lama’.

Korea Utara merekodkan kes pertama jangkitan Covid-19 dalam tempoh empat bulan manakala Vietnam pula mencatatkan satu kes baharu melibatkan seorang penduduk tempatan berusia 57 tahun selepas merekodkan bebas jangkitan selama 100 hari.

Pyongyang secara serta-merta mengisytiharkan darurat dan melaksanakan perintah berkurung di Kaesong selepas me­nemukan kes pertama tersebut.

Daily Mail melaporkan, pertambahan kes yang berterusan berlaku di Amerika Syarikat (AS), Brazil, India, Jepun dan Australia.

Data yang diperoleh daripada laporan rasmi itu menunjukkan peningkatan jumlah negara yang mencatatkan pertambahan kes secara mendadak dalam tempoh sebulan.

Hong Kong, Bolivia, Sudan, Ethiopia, Bulgaria, Belgium, Uzbekistan dan Israel antara yang merekodkan jumlah peningkatan kes mendadak dalam tempoh sebulan lalu.

Tiga minggu lalu, sekurang-kurangnya tujuh negara menunjukkan pola kenaikan, menjadikan pertambahan sebanyak 13 negara berbanding dua minggu sebelum itu.

Selepas merekodkan seku­rang-kurangnya 20 negara yang mencatat kenaikan kes Covid-19 pada minggu lalu, angka itu kini sudah mencapai 37 negara.

Satu kaji selidik berasingan yang dilakukan turut menunjukkan dunia mencatatkan rekod jangkitan harian tertinggi yang baharu iaitu lebih 280,000 kes pada Khamis dan Jumaat lalu.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah WHO, Dr. Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, komuniti dunia tidak akan dapat kembali kepada kehidupan normal seperti sebelum ini kerana pandemik tersebut sudah menukar cara hidup semua.

“Kami meminta semua pihak supaya memikirkan setiap keputusan yang dibuat, ke mana mereka ingin pergi dan sebagainya kerana ini melibatkan soal hidup dan mati,” katanya.

Ketika kes jangkitan me­nunjukkan trend peningkatan, dianggarkan keadaan kerajaan di enam negara juga berdepan ketidakstabilan apabila rakyat semakin tidak yakin dengan keupayaan pemimpin negara masing-masing berdepan kesan pandemik.

Berdasarkan kaji selidik dan laporan yang dikeluarkan Kekst CNC Communication, negara itu adalah Perancis, Jerman, Bri­tain, Jepun, Sweden dan AS.

“Sokongan rakyat terhadap kerajaan di enam negara ini semakin goyah dan kea­daan itu secara tidak langsung menyebabkan situasi menjadi semakin buruk,” jelas laporan tersebut.

Pada minggu lalu, AS sudah melepasi lebih empat juta kes dan merekodkan kematian sehingga 1,000 orang dalam tempoh empat hari berturut-turut, manakala Brazil dan India juga semakin teruk apabila melepasi sejuta kes dalam tempoh beberapa bulan.

Kes jangkitan Covid-19 seluruh dunia sudah melebihi 16 juta dengan angka kematian hampir mencecah 650,000 orang.