KABINET pentadbirannya dinamakan Indonesia Maju.
Memfokus kepada memperkasa sektor sumber daya manusia (SDM), Presiden Joko Widodo memulakan era penggal kedua pentadbiran dengan langkah cukup berani.
Didominasi 22 golongan profesional berbanding cuma 16 orang daripada pemimpin parti politik, tema Indonesia Maju dipilih selaras hasrat melonjakkan ekonomi negara.
Ini bertepatan usaha beliau yang mesra disapa Bapak Jokowi memindahkan ibu negara, dari kemacetan (kesesakan) kronik kota Jakarta yang didiami 10 juta orang ke Kalimantan.
Jauh jaraknya ribuan kilometer. Bukan sesuatu yang ‘main-main’ untuk difikirkan. Ibu negara baharu itu digambarkan sebagai kota yang cukup sofistikated, mendapat suntikan pelaburan Emiriah Arab Bersatu (UAE) melalui ‘dana kekayaan berdaulat’.
Bagaimanapun penularan Covid-19, sehingga kini Indonesia mencatatkan puluhan ribu kes dan tertinggi dalam kalangan negara-negara ASEAN, sedikit ‘mengganggu’ rentak Indonesia Maju.
Malah, seperti dipetik daripada laporan media tempatan Indonesia, kinerja (prestasi kerja) sejumlah Bapak Menteri dilihat tidak kentara (kelihatan) sepanjang pandemik ‘menyerang’.
Dikhabarkan sejumlah menteri didakwa bertentangan dengan dasar Jokowi. Contohnya, memetik laporan Kompas, ketika Jokowi meminta mudik (pulang ke kampung) dilarang, ada Pak Menteri mengatakan hal sebaliknya.
Tingkah laku yang tidak selari itu menimbulkan kemarahan Presiden yang ditegaskan ketika membuka sidang Kabinet di Istana Negara, baru-baru ini.
Kekecewaan dan kemarahan bertambah serius apabila Jokowi ‘menyampaikan ancaman’ rombakan Kabinet dan maklumat mengenainya tular dalam media sosial melalui rakaman video sidang berkenaan.
“Saya lihat, masih banyak kita ini (Kabinet) yang seperti biasa-biasa saja. Saya jengkelnya di situ. Ini apa enggak punya perasaan? Suasana ini krisis,” tegur Jokowi dengan nada tinggi.
‘Dibebani’ dengan rancangan memindahkan ibu negara di samping berdepan pula penularan Covid-19, Jokowi pastinya cukup tertekan dan mahu semua terarah kepada fokusnya.
Atas dasar itu, Kabinet perlu selari dengan tema Indonesia Maju, selari dengan hasrat Jokowi, tiada istilah ‘berdiam diri’ atau ‘bersembunyi’ ‘berbulan madu’ di sebalik Covid-19.
Pasca Covid-19, sesiapa yang masih kelihatan tidak kentara, ‘ancaman’ Jokowi seharusnya digunakan bagi mencari bakat-bakat yang mampu melonjakkan Indonesia Maju.
Kenyataan tegas Jokowi itu sudah banyak yang menyahut, meminta Bapak Presiden melakukan rombakan.
Seperti diperkatakan ramai orang, ‘kelayuan’ Kabinet yang disebut-sebut Jokowi, maka penggantinya harus orang yang mampu dan mengerti visi Presiden, sehingga kinerja pemerintahan menjadi lebih baik.
Bapak Presiden punyai pilihan. Rombak atau sebaliknya?










