TEHERAN: Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, mendedahkan bahan nuklear yang diperkaya milik negara itu masih berada di bawah runtuhan fasiliti yang musnah akibat serangan udara Israel dalam konflik baru-baru ini.
Dalam temu bual televisyen, Araghchi berkata, Pertubuhan Tenaga Atom Iran sedang menilai keadaan serta tahap capaian terhadap bahan tersebut sebelum mengemukakan laporan kepada Majlis Keselamatan Negara Tertinggi, badan keselamatan tertinggi yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal nuklear negara itu.
Kenyataan Araghchi susulan persetujuan beliau di Kaherah mengenai satu kerangka baharu kerjasama dengan Ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Rafael Grossi pada Selasa.
Bagaimanapun, beliau menegaskan, akses kepada pemeriksa nuklear Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) hanya boleh diberikan selepas kelulusan majlis keselamatan berkenaan.
Iran menghentikan kerjasama dengan IAEA selepas perang 12 hari dengan Israel pada Jun, susulan undang-undang yang diluluskan Parlimen Iran.
Teheran turut menuduh agensi itu gagal mengecam serangan Israel dengan tegas.
Dalam sidang media bersama di Mesir pada Rabu, Araghchi menekankan kerangka kerjasama baharu itu sepenuhnya selaras dengan peruntukan undang-undang domestik.
Beliau turut menjelaskan, perjanjian tersebut membezakan antara fasiliti nuklear yang diserang dengan yang tidak terjejas, termasuk reaktor Bushehr di selatan.
Katanya, akses ke fasiliti yang tidak rosak akan diputuskan secara kes demi kes oleh Majlis Keselamatan Negara Tertinggi manakala situasi di fasiliti yang menjadi sasaran adalah lebih ‘rumit’.
“Buat masa ini tiada tindakan diambil sehingga Iran melaksanakan langkah-langkah perlu berkaitan isu keselamatan dan alam sekitar,” katanya merujuk kepada tapak yang diserang.
Iran berulang kali menegaskan program nuklearnya adalah untuk tujuan aman, ketika negara Barat menuduh Teheran cuba membangunkan senjata atom.
Pada Ogos lalu, Britain, Perancis dan Jerman memulakan langkah untuk mengaktifkan semula sekatan PBB selepas berminggu-minggu memberi amaran, dengan alasan Iran terus gagal mematuhi komitmen dalam perjanjian nuklear 2015 yang kini hampir tidak berfungsi. -AFP










