Pernahkah anda melihat ada satu bintik, tompok hitam kecil yang terapung-apung atau cahaya kilat dan bergerak-gerak mengikut pergerakan mata anda? Keadaan ini membuatkan penglihatan tidak selesa dan meresahkan.
Bintik ini paling ketara kelihatan apabila anda melihat latar belakang yang terang seperti langit biru atau dinding putih. Bintik hitam ini dikenali sebagai ‘eye floaters’ atau dalam bahasa Melayu dikenali sebagai “bintik terapung di mata”.
Bintik terapung ini adalah bayangan kecil yang muncul dalam bentuk seperti benang, titik atau bentuk seperti jaring labah-labah yang kelihatan terapung di dalam medan penglihatan.
Pakar Mata dan Pakar Bedah Glaukoma,Tun Hussein Onn National Eye Hospital, Dr. Azlan Musa berkata, floaters adalah salah satu sebab yang agak biasa mengapa pesakit datang mendapatkan rawatan oftalmologi, terutamanya dalam kalangan mereka yang berusia lebih 50 tahun.
“Di klinik saya, lebih kurang satu daripada 50 pesakit yang datang untuk pemeriksaan mata mengalami simptom floaters. Punca utama floaters disebabkan perubahan semula jadi yang berlaku dalam gel vitreous iaitu cecair seperti gel di dalam mata.
“Gel vitreous adalah bahan jernih seperti jeli yang memenuhi ruang antara kanta dan retina dalam mata. Ia kebanyakannya terdiri daripada air, bersama dengan gentian kolagen, hyaluronan dan protein lain,” katanya.
Gel vitreous memainkan peranan penting dalam mengekalkan bentuk mata dan menyokong retina yang bertanggungjawab untuk menukar cahaya kepada imej visual. Gel ini juga bertindak sebagai penyerap hentakan bagi melindungi mata daripada rosak.
Perubahan dalam gel vitreous berlaku apabila seseorang meningkat usia atau usia lanjut. Fiber atau serat dalam vitreous akan tertarik keluar daripada retina yang dipanggil lekang vitreous. Ini menyebabkan floaters dan kilatan dalam penglihatan.
Kadangkala lekang vitreous boleh menyebabkan masalah lebih serius dan memerlukan rawatan segera. Bagi memastikan berlaku lekang vitreous, pemeriksaan mata perlu dilakukan.
Pemeriksaan ini membabitkan titisan ubat ke dalam mata untuk membesarkan anak mata bagi membolehkan untuk melihat bahagian belakang mata termasuk retina. Sejenis alat khas dikenali sebagai ophthalmoscope akan digunakan untuk tujuan ini.
Bagi mengekalkan kesihatan gel vitreous, sebaiknya elakkan makanan tinggi lemak tepu, makanan yang diproses dan makanan tinggi karbohidrat serta garam. Makanan ini boleh menyumbang kepada radang dan memburukkan lagi keadaan mata anda.
“Sebahagian besar floaters tidak memerlukan rawatan khas dan boleh beransur kurang ketara apabila otak menyesuaikan diri. Namun, jika floaters berlaku secara tiba-tiba, disertai kilatan cahaya atau kehilangan sebahagian penglihatan, pemeriksaan segera diperlukan.
“Ini bertujuan bagi mengesan kemungkinan masalah serius seperti retina terkoyak atau retina lekang Proses pemeriksaan tidak menyakitkan tetapi mungkin menyebabkan rasa tidak selesa,” katanya.
Faktor risiko lain yang boleh menjadi punca floaters termasuklah rabun jauh (myopia), sejarah pembedahan mata (seperti pembedahan katarak), keradangan dalaman mata (uveitis) atau kecederaan trauma pada mata.
Komplikasi serius
Dr. Azlan berkata, rawatan untuk mengatasi floaters bergantung kepada punca ia berlaku. Sekiranya floaters tidak mengganggu penglihatan, rawatan biasanya tidak diperlukan.
“Dalam kes lebih serius atau mengganggu kehidupan harian, rawatan seperti vitrektomi iaitu pembedahan membuang gel vitreous atau terapi laser mungkin dipertimbangkan. Bagaimanapun, kedua-dua rawatan ini mempunyai risiko dan bukan semua pesakit sesuai untuk rawatan berkenaan.
“Floaters biasanya tidak berbahaya tetapi jika disebabkan oleh masalah retina seperti retina lekang, komplikasi serius boleh berlaku termasuk buta kekal jika tidak dirawat segera. Justeru, sangat penting untuk membezakan antara floaters biasa dan floaters yang menjadi petanda kecemasan,” katanya.
Selepas rawatan, pesakit perlu menjalani pemantauan berkala untuk memastikan tiada komplikasi. Walaupun rawatan boleh mengurangkan atau menghilangkan floaters, kemungkinan berlakunya floaters baru masih ada, terutama jika vitreous masih belum stabil atau disebabkan faktor usia.
Makanan sihat
Makanan tinggi gula juga sebaiknya dielakkan kerana ia boleh meningkatkan risiko radang dan menjejaskan kesihatan mata manakala makanan diproses pula kebiasaannya tinggi sodium atau garam.
“Walaupun floaters tidak selalu dapat dicegah, menjaga kesihatan mata secara keseluruhan amat penting. Amalkan pemakanan seimbang yang kaya dengan antioksidan.
“Sebaiknya kawal penyakit kronik seperti diabetes dan darah tinggi, pakai pelindung mata semasa aktiviti berisiko serta dapatkan pemeriksaan mata berkala, terutama selepas berusia 40 tahun,” katanya.
Buah-buahan dan sayur-sayuran kaya dengan antioksidan dan nutrien yang menyokong keseluruhan kesihatan termasuk mata. Sayur hijau mengandungi Lutein dan Zeaxanthin iaitu antioksidan yang penting untuk mata yang sihat.
Makanan kaya Omega3 dan asid lemak seperti ikan tenggiri, patin dan kembung, bijirin dan kekacang baik untuk kesihatan mata. Minum air secukupnya untuk menyingkirkan toksin dan menyihatkan keseluruhan tubuh.
Anda juga perlu memastikan mata dapat berehat dengan mendapatkan tidur yang cukup. Tekanan boleh memburukkan lagi floaters.
Elakkan mata daripada terkena sinaran yang terlalu terang terutama ketika melihat skrin komputer atau telefon untuk tempoh yang lama. Berhenti sekejap daripada menatap skrin dan hadkan penggunaan peralatan berkenaan.
Apabila keluar dari rumah dalam cuaca terang atau panas, pastikan anda memakai kaca mata hitam dengan perlindungan ultraviolet (UV). – Mingguan Malaysia