MHIT Asas lindungi individu berpenyakit sedia ada

MHIT Asas lindungi individu berpenyakit sedia ada

CKD
DZULKEFLY AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU LANGAT: Individu yang mempunyai rekod penyakit sedia ada layak mendapatkan perlindungan di bawah Pelan Insurans dan Takaful Perubatan serta Kesihatan (MHIT) Asas sekiranya keadaan kesihatan mereka stabil dan terkawal.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, berdasarkan Kertas Putih MHIT Asas, akses perlindungan turut dibuka kepada pesakit sedia ada selagi mereka tidak berada dalam keadaan kecemasan perubatan.

Menurut beliau, MHIT Asas menggunakan pendekatan penjaminan yang lebih seragam termasuk polisi no look back yang tidak memerlukan semakan rekod kesihatan lampau.

“Bagi individu yang memerlukan perlindungan lebih menyeluruh, mereka boleh memilih pelan tambahan ‘Standard Plus’ manakala MHIT Asas dijangka ditawarkan pada kadar sekitar RM80 sebulan.

“Melalui pendekatan ini, pelan MHIT Asas dijangka meliputi lebih 90 peratus tuntutan perubatan lazim, khususnya rawatan dengan kos di bawah RM100,000 yang tidak memerlukan prosedur kompleks seperti pembedahan jantung,” katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Perasmian dan Hari Terbuka Wellness Hub Hulu Langat di Bandar Seri Putra, di sini, hari ini.

Menurut Dzulkefly, pelaksanaan MHIT Asas bukan menandakan peralihan kepada penswastaan sistem kesihatan, sebaliknya mengekalkan komitmen kerajaan terhadap Liputan Kesihatan Sejagat (UHC).

“Kadar bayaran di fasiliti kesihatan awam seperti RM1 untuk rawatan doktor dan RM5 bagi rawatan pakar pesakit luar akan terus dikekalkan, manakala peranan sektor swasta dilihat sebagai pelengkap bagi mengurangkan beban hospital kerajaan.

“KKM juga dalam proses menambah baik inisiatif pelan MHIT Asas supaya lebih matang dan mampu menarik minat khususnya golongan berpendapatan sederhana apabila dilancarkan kelak,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN