Senaman elak pembedahan caesarean

Senaman elak pembedahan caesarean

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Baru-baru ini seorang ibu meluahkan perasaan sedih dan kecewanya di media sosial mengenai pengalamannya menyambut kelahiran bayinya yang sudah meninggal dunia.

Wanita yang bersalin di sebuah hospital awam itu mendakwa dipaksa bersalin secara normal walaupun bayinya agak besar dengan berat melebihi 4  kilogram (kg).Akibatnya bayi berkenaan lemas semasa proses melahirkan yang sukar itu dan tidak dapat diselamatkan.

Pakar Obstetrik dan Ginekologi, Dr. Shilpa Nambiar berkata, sesetengah ibu masih boleh bersalin normal walaupun bayi bersaiz besar tetapi ini bergantung kepada keadaan bayi dan ibu.

“Ada ibu yang memiliki tubuh badan besar dan tulang pinggul juga besar untuk melahirkan anak secara normal. Jadi, mereka boleh bersalin secara normal walaupun bayi mereka besar.

“Sebaliknya sekiranya saiz tubuh ibu itu lebih kecil tetapi bayi yang bakal dilahirkan agak besar, berkemungkinan agak sukar untuk ibu berkenaan bersalin secara normal,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Tambah Dr. Shilpa, terdapat beberapa cara untuk mengetahui sama ada ibu itu mampu bersalin secara normal atau tidak. Ibu itu perlu berusaha bersalin secara normal dahulu.

Bagaimanapun, terdapat beberapa keadaan yang mungkin menghalang ibu daripada melahirkan bayi secara normal.

“Sekiranya dalam proses melahirkan itu, kepala bayi tidak boleh masuk ke dalam tulang pelvik atau sudah mula proses bersalin tapi pangkal rahim tidak terbuka, kemungkinan ibu tidak boleh

bersalin secara normal.

“Ini ditambah jika kepala bayi masih tidak boleh turun ke vagina, kita tahu, ibu memang tidak boleh bersalin normal. Doktor perlu melihat semua perkembangan ini dan membuat keputusan untuk menjalankan pembedahan caesarean,” katanya.

Tambah Dr. Shilpa, proses kelahiran yang tidak berkembang seperti biasa adalah salah satu sebab paling biasa untuk doktor menjalankan pembedahan caesarean bagi menyelamatkan ibu dan bayi.

Proses bersalin bermasalah termasuk peringkat pertama yang berpanjangan (pelebaran atau pembukaan serviks yang berpanjangan) atau peringkat kedua berpanjangan (masa menolak berpanjangan selepas pelebaran serviks yang lengkap).

“Melahirkan anak secara normal atau caesarean bukan satu pilihan. Dalam keadaan tertentu atau kecemasan, doktor perlu memilih salah satu kaedah untuk menyelamatkan ibu dan bayi.

“Pembedahan caesarean juga diperlukan kadangkala disebabkan bayi tidak dapat menahan tekanan semasa proses kelahiran. Ini mungkin disebabkan bayi ketika hampir dilahirkan tidak membesar dengan baik,” katanya.

Katanya lagi, perubahan degupan jantung bayi juga mungkin boleh menjadikan caesarean pilihan paling tepat untuk menyelamatkan bayi daripada lemas.

Melahirkan anak kembar juga meletakkan ibu dalam risiko bersalin yang tinggi untuk melahirkan secara normal. Terdapat beberapa faktor lain yang memerlukan pembedahan seperti masalah dengan plasenta atau uri. Jika plasenta menutupi pembukaan serviks, pembedahan akan dijalankan.

“Ada ibu bapa yang sengaja memilih cara bersalin semata-mata kerana mahu anak dilahirkan pada tarikh tertentu yang dianggap istimewa seperti tarikh harijadi ibu bapa.
“Ibu bapa perlu faham, caesarean dijalankan untuk menyelamatkan nyawa ibu dan anak. Ia tidak sepatutnya dijadikan pilihan untuk tujuan tertentu selain keselamatan ibu dan anak,” katanya.

SENAMAN UNTUK BERSALIN NORMAL

Bagi memudahkan proses melahirkan bayi secara normal, terdapat senaman khusus yang boleh diamalkan oleh ibu hamil bagi melancarkan proses bersalin dan mengelakkan pembedahan caesarean.

Dr. Shilpa berkata, kelahiran secara pembedahan boleh dielakkan jika ibu lebih aktif secara fizikal bermula dari awal kehamilan sehingga hampir tarikh melahirkan selain mengamalkan diet seimbang.

“Ibu yang aktif akan lebih memudahkan proses melahirkan dan peluang untuk bersalin normal lebih tinggi. Malah proses penyembuhan selepas bersalin juga lebih baik dan cepat,” katanya.

Dr. Shilpa berkata, terdapat satu cara senaman yang boleh dilakukan bertujuan memudahkan proses bersalin dan mengelakkan daripada mengalami koyakan yang teruk pada vagina. Senaman itu dikenali sebagai senaman vagina atau urutan perineal. Ia bermatlamat menjadikan bahagian itu lebih renggang sedikit sebagai persediaan bayi keluar dengan lebih mudah.

“Ketika proses bersalin, perineum iaitu otot dan tisu antara dubur dan faraj, meregang dan sering koyak. Satu langkah yang boleh anda ambil yang mungkin membantu mengelakkan koyakan adalah meregangkan dan mengurut perineum selama beberapa minggu sebelum tarikh melahirkan.

Kajian menunjukkan sesetengah orang yang melakukan urutan perineum secara tetap, dilaporkan kurang mengalami kesakitan perineum pada minggu selepas bersalin. Malah ibu yang pertama kali bersalin secara normal juga mempunyai kadar potongan vagina atau episiotomi yang lebih rendah ketika melahirkan bayi.

Info
*Kira-kira 25 peratus wanita hamil melahirkan secara caesarean atas pelbagai sebab dan alasan di negara ini.
Faktor lain pembedahan diperlukan:
*Tali pusat tergelincir.
*Pembedahan caesarean mungkin disyorkan jika gelung tali pusat tergelincir melalui serviks di hadapan bayi.
*Bakal ibu yang mempunyai masalah kesihatan tertentu seperti keadaan jantung atau otak.
*Terdapat ketumbuhan seperti fibroid besar yang menghalang saluran peranakan, patah tulang pelvis atau bayi yang mempunyai keadaan yang boleh menyebabkan kepala menjadi luar biasa besar (hidrosefalus yang teruk).
*Ibu yang pernah menjalani pembedahan caesarean atau pembedahan lain pada rahim. Doktor akan menasihatkan anda menjalani pembedahan ketika melahirkan.

SENAMAN PERINEUM

Pada mulanya bakal ibu bapa akan berasa tidak selesa ketika melakukan senaman ini tetapi lama-kelamaan akan selesa selepas beberapa menjalankan sesi urutan.

Sebelum urutan dijalankan, ibu hendaklah duduk dengan belakang disokong bantal dan buka kedua-dua kaki seperti hendak bersalin. Anda mungkin memerlukan cermin untuk melihat bahagian perineum. Sapukan minyak urutan pada jari atau minyak pelincir untuk mengurangkan geseran yang akan membuatkan anda berasa panas atau tidak selesa. Masukkan ibu jari atau jari telunjuk kira-kira 5 sentimeter ke dalam vagina.

Gerakan ibu jari atau jari untuk meregangkan dinding ke tepi perlahan-lahan dengan arah pukul tiga. Tekan dan regangkan ke luar, sapu ke bawah hingga pukul enam dan ke atas hingga pukul sembilan. Ulang selama empat atau lima minit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×