KUALA LUMPUR: Dua jiwa, satu gelombang bergema di Plenary Theatre, Kuala Lumpur, baru-baru ini apabila Atilia Haron berkongsi pentas utama bersama ibunya yang juga legenda seni suara tanah air, Salamiah Hassan, menerusi ‘Konsert Gelombang Bahagiaku’.
Anjuran Mujik Wand Production, konsert ini mencatat kejayaan luar biasa apabila tiket terjual habis, disambut meriah oleh penonton yang terpesona dari lagu pertama hingga penutup.
“Sejak kecil, saya ingin menjadi seperti mama. Dapat berkongsi pentas bersamanya, di hadapan penonton yang penuh… it’s surreal. Projek ini bukan mudah kerana kami bermula tanpa penaja, tetapi berkat sokongan rakan-rakan dan keluarga, ia menjadi malam yang tidak akan saya lupakan,” kata Atilia dengan rasa terharu.
Salamiah pula menyifatkan malam itu sebagai momen berharga dalam kariernya yang kini memasuki tahun ke-55.
“Menyanyi bersama anak saya sepanjang konsert ini adalah hadiah paling indah. Saya gembira, sangat bersyukur, dan berharap kami dapat melakukan lebih banyak konsert bersama nanti,” luahnya dengan penuh rasa.
Tirai konsert dibuka dengan lagu “No Fruits For Today” oleh Atilia, diikuti kolaborasi penuh energi dengan MonoloQue menerusi “Kekanda Adinda” yang pastinya menjadi nostalgia buat peminat yang mendengar pada malam yang penuh emosi dan warna.
Penyanyi legenda, Salamiah pula memukau dengan pelbagai genre daripada lagu “I’m So Excited” ke balada “Surat Terakhir”.
Kehadiran Mimifly menambah warna menerusi medley “Sahabat” dan “Angkat”, sebelum Salamiah kembali dengan rangkaian lagu seperti “Superstar”, dan lagu wajib “Gelombang”.
Sebelum malam ‘Konsert Gelombang Bahagiaku’ menutup tirai, Atilia mengakui dirinya kini bersedia untuk kembali aktif selepas memberi tumpuan pada perniagaan yoganya.
“Tahun depan saya hendak buat lebih banyak persembahan. Saya rindu berada di pentas. Malam ini membuktikan bahawa muzik dan kasih sayang keluarga adalah kombinasi yang tidak ternilai,” ujarnya.