KOTA BHARU: Cadangan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Perikatan Nasional (PN) bagi memilih pengganti beliau diadakan pada awal Ramadan, belum dimuktamadkan apabila masih ada presiden parti komponen yang belum memberikan persetujuan.
Timbalan Setiausaha PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, tarikh mesyuarat penting itu hanya boleh ditetapkan selepas semua presiden empat parti dalam gabungan berkenaan mencapai kata sepakat.
“Tan Sri Muhyiddin mencadangkan awal Ramadan supaya boleh digabungkan dengan majlis berbuka puasa.
“Namun masih ada presiden yang belum memberi jawapan,” katanya kepada pemberita semalam.
Menurut Takiyuddin, PN kini berada dalam fasa perancangan Mesyuarat MT yang dijangka menentukan hala tuju kepemimpinan gabungan itu.
Beliau berharap isu dalaman yang sedang melanda parti itu dapat diberi keutamaan.
Terdahulu, Pas dilapor akan memuktamadkan calon Pengerusi PN) daripada parti itu pada mesyuarat MT gabungan berkenaan yang dijangka berlangsung selepas 19 Februari ini.
Takiyuddin berkata, individu yang akan dilantik ialah pemimpin tertinggi parti dan merupakan seorang ahli Parlimen. – UTUSAN










