22 individu termasuk 4 tekong laut Indonesia aktif seludup migran ditahan

22 individu termasuk 4 tekong laut Indonesia aktif seludup migran ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Satu sindiket penyeludupan migran tumpas selepas 22 individu ditahan Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) di Seremban, Negeri Sembilan, semalam.

Tangkapan terdiri 20 lelaki dan dua wanita dewasa warganegara Indonesia yang mana empat daripada mereka dipercayai berperanan sebagai tekong laut.

Komander PGA Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Senior Komisioner Polis Hakemal Hawari berkata, sindiket berkenaan dipercayai aktif di kawasan sempadan Negeri Sembilan.

Katanya, dalam operasi sama, dua buah kenderaan jenis Honda City dan Volkswagen Tiguan telah dirampas selain enam unit telefon bimbit yang dipercayai digunakan bagi aktiviti penyeludupan migran berkenaan.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM239,000 dan kesemua individu yang ditahan kini disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam perkembangan berasingan, Hakemal memberitahu, sebanyak 39 serbuan telah dilaksanakan di kawasan tanggungjawab Briged Tengah meliputi Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Negeri Sembilan,
Melaka serta Johor dalam tempoh 1 Januari lalu hingga hari ini.

“Hasil operasi berkenaan, seramai 161 individu berjaya ditahan selain pelbagai jenis rampasan dilakukan dengan nilai keseluruhan dianggarkan mencecah RM8 juta,” jelasnya.

Katanya, kejayaan berkenaan membuktikan komitmen berterusan PGA dalam membanteras jenayah terancang yang mengancam keselamatan dan kesejahteraan negara.

“Kerjasama masyarakat agar tampil menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa dan berperanan sebagai mata serta telinga pasukan keselamatan bagi memastikan sempadan negara kekal bebas daripada pencerobohan dan aktiviti haram,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×