PETALING JAYA: Pelakon, Zara Zya memohon maaf sekiranya babak peluk dalam cuplikan drama Hati Tercarik Luka mengundang perasaan kurang selesa sesetengah penonton.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Zara Zya atau Zainurul Razia Mohd. Zainuddin, 38, mengakui menerima setiap teguran dengan hati terbuka selain berusaha untuk memperbaiki diri.
“Saya minta maaf atas kesilapan dan kelalaian semasa melakonkan babak tersebut dalam drama berkenaan.
“Terima kasih atas teguran. Saya mohon semua terus mendoakan agar tetap istiqamah memperbaiki diri,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.
Dia berkata demikian bagi mengulas kritikan penonton yang mempertikai babak pelakon itu yang sudah bertudung dipeluk oleh Syarul Ezani dalam salah satu adegan drama berkenaan.
Melakonkan watak sebagai Eyda Amanda, naskhah Hati Tercarik Luka menceritakan kehidupan rumah tangga yang bergolak dengan kehadiran ‘penyondol’.
Selain itu, Zara Zya menafikan drama tersebut dihasilkan untuk menyindir individu tertentu yang dilabel dengan ‘orang ketiga’ seperti yang hangat diperkatakan baru-baru ini.
“Kebetulan masa kami lakukan penggambaran drama, isu penyondol memang tengah panas.
“Tapi saya yakin itu semua hanya kebetulan. Sebab, drama ini dihasilkan berdasarkan adaptasi sebuah novel dengan tajuk yang sama,” katanya.
Hati Tercarik Luka adalah drama panjang lakonan Zara Zya selepas pelakon itu mendiamkan diri beberapa bulan daripada bidang lakonan bagi memberi fokus kepada perniagaan.
“Saya sudah lama tidak berlakon dalam drama panjang. Saya cuti beberapa bulan bagi memberi fokus kepada perniagaan.
“Memang ada yang kata rindu, tapi rindu itu bagus. Kalau kerap sangat muncul nanti orang bosan pula,” katanya.
Hati Tercarik Luka bakal menemui penonton 20 Disember ini. Turut sama menyertai drama berkenaan ialah Fizo Omar, Mia Nasir, Jasmin Hamid dan Halim Radzi. – UTUSAN









