SEBUAH bandar di timur Jerman tampil dengan idea unik untuk menarik ‘penduduk baharu’ dengan menawarkan penginapan percuma kepada sesiapa yang berminat untuk menetap di sana.
Eisenhuttenstadt yang terletak berhampiran sempadan Poland kira-kira 100 kilometer (km) dari ibu negara Berlin, menawarkan penginapan percuma selama dua minggu kepada bakal penduduk baharu, menurut kenyataan majlis bandar raya pada 13 Mei lalu.
“Projek ini menyasarkan sesiapa sahaja yang berminat untuk berpindah ke Eisenhuttenstadt seperti pekerja yang berulang-alik, bekas penduduk yang mahu kembali, pekerja mahir, atau individu bekerja sendiri yang mahu suasana baharu,” kata kenyataan itu.
Permohonan untuk mendapatkan penginapan khas itu dibuka sehingga awal Julai dalam usaha memulihkan populasinya yang kian merosot saban tahun.
Peserta yang terpilih akan tinggal secara percuma di sebuah pangsapuri lengkap berperabot dari 6 hingga 20 September sebagai sebahagian daripada projek imigrasi inovatif yang dinamakan Make Plans Now.
“Mereka akan berpeluang untuk mengenali kehidupan, pekerjaan dan komuniti Eisenhuttenstadt dalam percubaan tinggal selama 14 hari secara percuma di tengah-tengah bandar.
“Bagi membantu peserta mendapatkan gambaran sebenar tentang kehidupan di bandar ini dan menyesuaikan diri dengan suasananya, pihak majlis akan menyediakan beberapa aktiviti termasuk lawatan sekitar bandar dan kilang terdekat serta pelbagai program riadah,” jelas kenyataan itu.
Lebih menarik, peserta juga akan didedahkan dengan peluang pekerjaan seperti latihan industri, program bayangan kerja dan temu duga bersama syarikat-syarikat tempatan sebagai usaha ‘memujuk’ mereka untuk kekal menetap di situ.
Ditubuhkan pada 1950, Eisenhuttenstadt yang bermaksud ‘bandar kilang keluli’ merupakan bandar pertama yang dirancang sepenuhnya oleh kerajaan sosialis Jerman Timur.
Terletak di tebing Sungai Oder, bandar ini dibina oleh perancang sosialis mengelilingi sebuah kilang keluli berskala besar.
Sebelum ini ia dikenali sebagai Stalinstadt, atau Bandar Stalin sempena nama pemimpin Soviet Joseph Stalin, namun ditukar nama selepas penyatuan semula Jerman Timur dan Barat susulan kejatuhan Tembok Berlin pada 1989.
“Seperti kebanyakan bandar lain di tapak bekas Jerman Timur, Eisenhuttenstadt mengalami penyusutan penduduk sejak penyatuan semula, daripada kemuncaknya melebihi 50,000 kepada kira-kira hanya 24,000 orang hari ini.
“Justeru skim baharu diwujudkan bagi menarik penduduk tetap baharu berpindah ke sini, khususnya pekerja mahir,” kata pegawai tempatan, Julia Basan kepada media tempatan RBB24.
Kini, Eisenhuttenstadt menempatkan kilang keluli bersepadu terbesar di timur Jerman, yang menggaji seramai 2,500 pekerja selain menjadi pusat pemprosesan logam utama.
Banyak bangunan era sosialisnya diiktiraf sebagai monumen bersejarah dan susun atur bandar yang terbuka turut menarik perhatian pelancong yang meminati seni bina.
Seorang penduduk baharu yang tampil dalam video di akaun Instagram dewan bandar raya berkata, seni bina bandar tersebut menjadi sebab utama dia membuat keputusan berpindah ke situ.
“Ia berlaku secara kebetulan. Kami sedang dalam perjalanan ke Ratzdorf bersama rakan-rakan dan melalui Karl-Marx-Strabe.
“Saya nampak rumah-rumah ini, seni binanya benar-benar memukau dan saya terus memberitahu isteri, mahu berpindah ke sini,” katanya.
Lelaki itu kemudiannya mengatur lawatan bersama seorang ahli sejarah tempatan untuk mengenali bandar itu dengan lebih dekat.
“Seni bina di sini benar-benar menarik minat kami. Ia menjadi titik tolak keputusan kami untuk berpindah,” katanya.