TERKINI: Angka korban gempa bumi Turkiye, Syria hampiri 8,000 - Utusan Malaysia

TERKINI: Angka korban gempa bumi Turkiye, Syria hampiri 8,000

turkiye
KERJA-kerja menyelamat besar-besaran sedang dijalankan selepas gempa besar melanda wilayah itu. -ANADOLU AGENCY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HATAY: Angka korban terbaharu akibat gempa bumi dahsyat Isnin lalu di tenggara Turkiye dan sempadan Syria sudah melepasi 7,800 orang.

Lapor Theguardian.com, di Turkiye, seramai 5,894 orang disahkan terbunuh manakala 1,932 orang maut di Syria dengan jumlah keseluruhan 7,826 kematian.

Semalam, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut memberi amaran bahawa jumlah korban boleh melebihi 20,000 orang.

Usaha menyelamat awal dikatakan terhenti akibat gempa kedua berlaku pada pukul 1.24 tengah hari (waktu tempatan) yang berukuran 7.5 magnitud.

Keadaan cuaca sejuk dan bersalji turut menyukarkan operasi menyelamat.

Pegawai Kecemasan Kanan WHO, Adelheid Marschang berkata, kira-kira 23 juta orang, termasuk 1.4 juta kanak-kanak, berkemungkinan akan terjejas akibat gempa itu.

Naib Presiden Turkiye, Fuat Oktay berkata, lebih 8,000 orang setakat ini  ditarik keluar dari serpihan di Turkiye.

Katanya, kira-kira 380,000 orang dilaporkan berlindung di pusat perlindungan atau hotel kerajaan dengan yang lain berkumpul di pusat beli-belah, stadium, masjid dan pusat komuniti.

Semalam, Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdoğan mengisytiharkan darurat selama tiga bulan bagi 10 wilayah yang terjejas akibat gempa bumi yang dahsyat di Turkiye.

Agensi pengurusan bencana Turkiye berkata, ia mempunyai 11,342 laporan bangunan runtuh, di mana 5,775 disahkan ranap.

Kementerian Pengangkutan dan Infrastruktur Turkiye pula berkata, semalam, 3,400 orang berteduh di dalam kereta api yang digunakan sebagai penginapan kecemasan.

Turkiye kini mengerahkan lebih 24,400 anggota mencari dan menyelamat ke kawasan gempa.

Bilangan kakitangan dijangka meningkat dengan kedatangan pasukan tambahan, kata pegawai agensi pengurusan bencana Orhan Tatar.

Setiausaha Luar United Kingdom, James Cleverly berkata, tiga warga Britain hilang susulan gempa bumi berkenaan.

“Kami membuat penilaian awal bahawa kemungkinan ketiga-tiga warga British maut, kekal rendah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya