SIAPA sangka, pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang sebelum ini sinonim dengan memadam kebakaran dan menyelamatkan mangsa lemas serta hal-hal kecemasan kini antara memainkan peranan penting dalam menangani pandemik Covid-19 yang melanda negara ini.
Terlibat dalam operasi sanitasi Covid-19 bukanlah satu tugas yang mudah kerana setiap proses perlu mengikuti pematuhan standard operasi (SOP) yang ditetapkan.
Ia menjadi salah satu cabang skop penugasan pelaksanaan operasi Covid-19 oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia yang dipertanggungjawabkan sebagai penyelaras di peringkat lapangan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Penguasa Bomba JBPM Kuala Lumpur, Muhammad Ridhwan Kamarulzaman berkata, walaupun tidak ada pengalaman khusus dan fokus utama dalam mengendalikan wabak pandemik berbentuk virus, pasukannya sentiasa bersedia menghadapi pandemik tersebut yang menular sejak Mac lalu.
Katanya, sehingga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di seluruh negara jabatan itu menggunakan kepakaran Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) JBPM yang biasa mengendalikan kes-kes melibatkan bahan kimia berbahaya.
“Dari segi tatacara pengendalian Covid-19 ini ia tidak menjadi masalah kepada pasukan ini kerana memang terlatih dan biasa memakai pakaian PPE dalam tempoh berjam-jam lamanya untuk menyelesaikan sesuatu operasi pengendalian dan penyelamatan,” katanya.

Pengalaman
Muhammad Ridhwan berkata, antara pengalaman yang mencabar apabila menangani kluster Sri Petaling yang melibatkan hampir 6,000 pesakit bawah siasatan (PUI) dan pesakit dalam pemantauan (PUS) yang kebanyakannya jemaah tabligh dari luar negara dan dalam negara yang menghadiri sebuah perhimpunan keagamaan di kawasan tersebut.
Jelasnya, pada ketika itu pasukan JBPM mempunyai SOP yang belum diseragamkan dan diperjelaskan khas bagi mengendalikan wabak tersebut selain mengetahui Covid-19 bermula di China dan telah menjangkiti seluruh dunia.
“Virus ini kami nak kesan menggunakan alat pengesan pun tidak boleh, kerana kita tak nampak. Ia mungkin ada di mana-mana. Agak sukar pada mulanya kerana tidak terlihat pada mata kasar dan tiada bantuan peralatan untuk membuat pengesanan.
“Bagaimanapun dengan bantuan, kursus dan tunjuk ajar Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dari Pakar Kawalan Penyakit, kami berjaya menanganinya dengan sistematik dan baik. Dari semasa ke semasa, kami sudah faham apa itu Covid-19 dan kaedah jangkitan merebak serta jangka hayat virus tersebut di permukaan.
“Alhamdulillah, JBPM KL juga bersyukur kerana belum ada lagi kes jangkitan melibatkan pasukan kami ketika menjalankan mana-mana operasi melibatkan wabak Covid-19,” katanya ketika ditemui Mega Wira baru-baru ini.
Laksana 2,000 operasi sanitasi
Muhammad Ridhwan berkata, pasukannya sehingga kini telah menjalankan hampir 2,000 operasi sanitasi di kawasan-kawasan yang terdedah kepada Covid-19 sejak kes pertama dicatatkan di ibu negara.
Jelasnya, hampir setiap hari operasi sanitasi awam dilaksanakan di zon jingga dan zon merah namun pada hari minggu pihaknya akan bekerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Setiap operasi mempunyai pengalaman yang berbeza namun mengendalikan pendatang asing antara mencabar pihak bomba kerana masalah komunikasi terutamanya melibatkan warga Nepal dan Bangladesh kerana mereka tidak fasih berbahasa Malaysia dan Inggeris.
“Bagaimanapun, dengan kerjasama agensi lain seperti Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia serta pihak kedutaan banyak memudahkan gerak kerja pasukan bomba terutama dalam operasi Covid-19 dan sanitasi di kawasan berkaitan,” ujarnya.

Sementara itu, katanya, terdapat empat jenis bancuhan cecair kimia yang diguna pakai untuk proses sanitasi namun setiap bahan tersebut mempunyai kegunaan yang tersendiri mengikut kawasan yang dinyah cemar.
Sanitasi awam
Muhammad Ridhwan berkata, sodium hypochlorite, natrium hypochlorite , hydrogen peroxide dan lain-lain bahan kimia yang diluluskan oleh pihak KKM dan Jabatan Kimia digunakan oleh pasukan Hazmat dalam proses sanitasi awam di kawasan luar manakala floral disinfectant dalam kawasan tertutup.
Kata beliau, pihaknya mendapatkan nasihat daripada KKM, Jabatan Kimia Malaysia serta membuat rujukan terkini jurnal Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai jenis bahan kimia yang sesuai digunakan.
“Sebagai contoh, setiap bancuhan mestilah menggunakan nisbah 1 liter bahan dengan nisbah 10 liter air. Disinfeksi yang baunya tidak kuat pula digunakan dalam premis tertutup seperti pusat beli-belah atau di pejabat-pejabat manakala bahan kimia Nocolyse pula digunakan di Parlimen, Istana Negara lebih berkesan sehingga ke permukaan lain.
“Selain itu, kita juga menggunakan pelbagai peralatan seperti Knapsack Pump Sprayer yang mengunakan kuasa bateri, AFT pump, Macaw Backpack dan penyembur air berkuasa tinggi atau alat semburan yang akan digunakan atas kenderaan operasi iaitu Hilux,” katanya.
Menurut Muhammad Ridhwan, selain itu, pihak bomba perlu memakai peralatan perlindungan diri (PPE) sebelum melakukan bancuhan bahan kimia itu, pasukan Hazmat perlu mengenakan pakaian tyvek jenis C memakai dua lapisan sarung tangan, goggle, penutup hidung dan mulut.
Jelasnya, selepas selesai proses nyah cemar, anggota terlibat akan nyah cemar diri sendiri bermula tapak kaki, tapak tangan sebelum membuka PPE.
“Proses itu juga memerlukan bantuan bahagian lain dari pasukan Hazmat juga. Setiap proses melibatkan pasukan berlainan kerana SOP yang berbeza-beza,” ujarnya.











