Tanggapan wanita hanya duduk di dapur sudah lapuk - Shamellya

Tanggapan wanita hanya duduk di dapur sudah lapuk – Shamellya

SHAMELLYA NORAZIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dalam dunia semakin terbuka, golongan wanita terus aktif dalam pelbagai bidang tanpa lagi terikat dengan stereotaip lama. Kisah Shamellya Norazizi menggambarkan bagaimana keberanian mencuba dan minat terhadap komunikasi dan politik membentuk dirinya menjadi wanita muda yang berdikari dan berinspirasi.

GOLONGAN WANITA JUGA BIJAK BUAT KEPUTUSAN

Hari ini, naratif tentang wanita dalam dunia profesional berkembang dengan pesat, termasuk dalam bidang yang sebelum ini sering dianggap sebagai dominasi lelaki seperti politik, sekali gus membuka ruang baharu kepada golongan itu untuk tampil ke hadapan.

Wanita bukan sahaja mampu berdiri setara dengan lelaki dalam pelbagai aspek kepimpinan, malah turut berupaya membuat keputusan yang rasional, strategik dan berimpak tinggi tanpa perlu dilabel sebagai terlalu beremosi seperti tanggapan stereotaip yang sering diberikan sebelum ini.

Dalam masa sama, masyarakat juga perlu mula menepis tanggapan lama setinggi mana pun pendidikan wanita, akhirnya akan kembali ‘ke dapur’ seolah-olah itu adalah satu bentuk kegagalan atau penyempitan peranan.

Hakikatnya, tiada apa yang salah dengan dapur kerana memasak adalah kemahiran asas kehidupan yang merentasi jantina dan ia tidak sepatutnya dijadikan simbol untuk mengehadkan potensi wanita dalam bidang lain.

Pemikiran progresif seperti inilah yang cuba dibawa oleh Shamellya, atau lebih dikenali sebagai Mel iaitu seorang wanita muda yang aktif mencorakkan perjalanan hidupnya dalam pelbagai bidang termasuk media, komunikasi dan politik.

“Setinggi mana pun pendidikan wanita, ia tidak sepatutnya diukur dengan stereotaip lama yang mengehadkan peranan mereka kepada ruang domestik semata-mata.

“Wanita hari ini tidak lagi berada di belakang tabir, sebaliknya turut menjadi pembuat keputusan dalam pelbagai sektor termasuk politik dan media,” katanya kepada Seri.

Kini berusia 29 tahun, Mell melihat dirinya masih berada dalam fasa pembelajaran kehidupan, walaupun sudah melalui pelbagai pengalaman besar yang membentuk cara fikir dan pendekatannya terhadap dunia.

Sejak zaman sekolah lagi, dia dikenali sebagai pelajar yang aktif dan sukar untuk duduk diam, sering melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti yang memerlukan interaksi dan komunikasi dengan orang lain.

Walaupun pernah bertukar sekolah pada satu ketika, dia akhirnya memilih untuk kembali ke sekolah harian biasa kerana lebih selesa dengan suasana serta hubungan dengan rakan-rakan yang telah lama dikenalinya.

Minat terhadap akademik tetap diteruskan apabila dia memilih aliran sains dalam peperiksaan SPM, sekali gus menunjukkan keseimbangan antara aktiviti luar dan pencapaian akademik.

Mell kemudian menyambung pengajian dalam bidang perniagaan di UiTM Segamat sebelum meneruskan ijazah dalam bidang kewangan di UiTM Puncak Alam, selari dengan laluan akademik yang lebih formal.

MINAT KOMUNIKASI, MEDIA

Namun, perjalanan kerjayanya tidak sepenuhnya mengikut laluan akademik tersebut apabila beliau akhirnya menemui minat sebenar dalam bidang komunikasi dan media.

Pandemik Covid-19 yang melanda dunia pada tahun 2020 menjadi titik perubahan besar dalam hidupnya, terutama ketika dia berada di fasa akhir pengajian dan latihan industri.

Dalam keadaan ramai memilih untuk memperlahankan langkah, Mel sebaliknya mencari peluang untuk mencabar dirinya agar terus berkembang walaupun dalam situasi serba terhad.

Dia menyertai pertandingan Ratu Hijabista hanya dengan menghantar video pendek sebagai percubaan, tanpa sebarang jangkaan besar untuk melangkah jauh dalam pertandingan tersebut.

Tanpa pengetahuan keluarga, percubaan itu akhirnya membuahkan hasil apabila dia terpilih dalam kelompok 12 teratas, sekali gus membuka lembaran baharu dalam hidupnya.

Perjalanan dalam pertandingan tersebut membawa Mell ke peringkat akhir dan memberikan pendedahan luas terhadap pelbagai cabaran yang menguji kebolehan diri.

Sepanjang program, dia perlu melalui pelbagai tugasan seperti memasak, pengucapan awam serta aktiviti lasak yang memerlukan keberanian dan ketahanan fizikal.

Pengalaman tinggal bersama keluarga angkat serta menghasilkan kandungan digital juga membantu mengasah kemahiran komunikasi dan kreativiti beliau secara praktikal.

Tidak ketinggalan, dia turut diberi peluang membawa isu sosial seperti body shaming, yang membuka ruang untuk menyuarakan pandangan secara lebih bermakna kepada masyarakat.

“Pengalaman di lapangan mengajar lebih banyak perkara berbanding teori, terutama apabila berhadapan dengan realiti masyarakat yang pelbagai.

“Media sosial tidak seharusnya menjadi kayu ukur kehidupan, kerana realiti sebenar jauh lebih kompleks daripada apa yang dipaparkan,” katanya.

Selepas tamat pertandingan, Mell kembali menjalani kehidupan seperti biasa dalam suasana negara yang masih bergelut dengan pandemik dan ketidaktentuan ekonomi.

Namun, rezekinya dalam dunia media mula membuka jalan apabila dia dipanggil menghadiri sesi temu duga di TV9, sesuatu yang pada awalnya tidak pernah dijangka.

Dia kemudiannya diterima sebagai pembaca berita dan memulakan kerjaya dalam bidang penyiaran pada tahun 2021, sekali gus mengubah arah perjalanan hidupnya secara signifikan.

Walaupun tidak mempunyai latar belakang dalam komunikasi massa, pengalaman aktif bercakap di khalayak ramai sejak dahulu menjadi kelebihan utama dalam menyesuaikan diri.

Selain bertugas di studio sebagai pembaca berita, dia juga terlibat dalam pelbagai program luar yang memberi peluang untuk berinteraksi dengan masyarakat secara lebih dekat.

TERJUN DUNIA POLITIK

Minat mendalam terhadap komunikasi akhirnya membawa Mell lebih dekat dengan dunia politik melalui pelbagai program dan jaringan yang dibina.

Dia menyertai program Fellow Perdana yang membolehkannya bekerja secara langsung dengan kepimpinan tertinggi negara, satu pengalaman yang sangat berharga.

Pengalaman tersebut membuka peluang untuk dia terlibat dalam pelbagai program bersama anak muda di seluruh negara, termasuk di universiti dan komuniti setempat.

Mell juga berpeluang mengikuti kempen pilihan raya dan melihat sendiri dinamika serta cabaran sebenar dunia politik di lapangan.

Baginya, pengalaman turun padang dan berinteraksi secara langsung adalah cara terbaik untuk memahami realiti kehidupan masyarakat yang pelbagai latar belakang.

Selepas tamat program tersebut, dia sempat kembali ke bidang kewangan dengan bekerja sebagai akauntan di sebuah syarikat kontraktor.

Namun, minat terhadap komunikasi dan pembangunan masyarakat membuatkan dia terus aktif dalam pelbagai program luar walaupun mempunyai kerjaya tetap.

Tidak lama kemudian, dia ditawarkan jawatan dalam sayap Puteri UMNO Malaysia sebagai Ketua Penerangan, satu peluang yang hadir tanpa dirancang tetapi membuka dimensi baharu dalam hidupnya.

Walaupun masih baharu dalam dunia politik, Mell menerima cabaran tersebut sebagai ruang untuk belajar dan mengembangkan potensi diri.

Kini, dia aktif sebagai pegawai kepada seorang pemimpin politik sambil menguruskan perniagaan sendiri yang berteraskan komunikasi.

Perniagaan tersebut memberi fokus kepada latihan komunikasi dan debat untuk pelajar sekolah serta universiti, selari dengan minatnya sejak dahulu.

Mell percaya kemahiran bercakap dan berfikir secara kritikal adalah aset penting yang boleh membuka banyak peluang dalam kehidupan seseorang.

Dalam masa sama, dia sering berkongsi pandangan dan pengalaman hidup kepada golongan muda yang mencari arah dan inspirasi.

“Media sosial hari ini banyak mempengaruhi cara berfikir generasi muda sehingga kadangkala mencipta tekanan yang tidak realistik.

“Satu sahaja yang saya ingin ingatkan, anak muda seharusnya tidak terlalu membandingkan kehidupan sendiri dengan apa yang dipaparkan di media sosial kerana realiti sebenar sering berbeza,” ujarnya.

WANITA DIBERI PELUANG SAMA RATA

Dalam soal hubungan pula, Mell menekankan komunikasi yang baik dan kematangan emosi adalah kunci utama dalam membuat keputusan yang tepat.

Baginya, setiap hubungan perlu dibina atas asas persefahaman dan toleransi, bukan sekadar mengikut trend atau tekanan sekeliling.

Mell juga percaya wanita perlu diberi ruang untuk berkembang tanpa dibebani stereotaip yang mengehadkan potensi mereka dalam pelbagai bidang.

Dia melihat masa depan sebagai satu perjalanan yang masih panjang dengan pelbagai kemungkinan yang boleh diterokai.

Walaupun mempunyai impian untuk membina keluarga suatu hari nanti, dia tidak melihat perkara itu sebagai penghalang untuk terus berkembang dalam kerjaya.

Bagi Mell, kehidupan adalah tentang mencari keseimbangan antara impian peribadi dan tanggungjawab terhadap masyarakat.

Dia percaya setiap individu perlu berani mencuba, melakukan kesilapan dan belajar daripadanya untuk menjadi versi diri yang lebih baik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN