Keenakan resipi India Selatan nasi kandar Mohamed Raffee - Utusan Malaysia

Keenakan resipi India Selatan nasi kandar Mohamed Raffee

Pewaris kedai Nasi Kandar Mohd Raffee, Mohamed Firdaus Mohamed Raffee menunjukkan sebahagian menu popular nasi kandar iaitu ayam masak gulai dan bendi di Pulau Tikus, Georgetown, Pulau Pinang. – UTUSAN/AMIR IRSYAD OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Surr..Padu..

Dua perkataan itu sering digunakan oleh warga Pulau Pinang dan peminat nasi kandar bagi menggambarkan keenakan nasi kandar asli dari Pulau Pinang.

Hidangan nasi panas, bersama gabungan kuah kari ayam, daging serta sambal manis dan pedas yang dicampur menjadi daya penarik kepada para peminat nasi kandar.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tanyalah siapa sahaja yang berkunjung ke Pulau Pinang, tidak lengkap kunjungan ke Pulau Mutiara itu tanpa menjamah sepinggan nasi kandar.

Tersenarai di dalam media sosial sebagai antara 10 kedai nasi kandar terbaik di Pulau Pinang, Restoran Nasi Kandar Mohamed Raffee yang terletak di Pulau Tikus ini mempunyai rahsia tersendiri untuk mengekalkan rasa dan keaslian makanan popular itu.

Bagi penggemar nasi kandar, nasi kandar yang dihidangkan di Restoran Mohamed Raffee itu sedikit berbeza kerana kuah nasi kandarnya tidak terlalu likat untuk digaulkan bersama nasi putih.

Di restoran berkenaan, kuah karinya sedikit cair namun jika digaulkan sebati bersama nasi panas serta lauk seperti kari ayam dan telur sotong kombinasi rasa yang dihasilkan sukar untuk dilupakan keenakannnya.

Menyingkap rahsia resipi dan keunikan rasa nasi kandar Mohamed Raffee yang bersejarah lebih 60 tahun, salah seorang pewaris perniagaan itu, Mohamed Firdaus Mohamed Raffee, 37, berkata, perniagaan itu dimulakan oleh Allahyarham datuknya, PK Mohamed Yusoff yang berasal dari India Selatan.

Beliau berkata, datuknya berkahwin dengan Allahyarhamah neneknya, Rahimah Shaik Farid yang berketurunan Jawi Peranakan Pulau Pinang dan selepas itu bermulalah perniagaan nasi kandar datuknya.

“Nenek saya akan memasak hidangan utama nasi kandar ketika itu, iaitu nasi putih, kuah kari ikan, ayam dan kuah kari daging serta telur rebus menggunakan gabungan resipi Jawi Peranakan dan India Selatan

“Selepas itu, datuk saya hanya menggunakan bekas yang dikandar di bahu menjual hidangan nasi berkenaan di sekitar Jalan Lahad dan kemudiannya dia berniaga dengan menggunakan basikal roda tiga pula,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

 

KARI Sotong antara menu kegemaran pelanggan.

 

RESIPI TURUN-TEMURUN SEJAK 1959

Mohamed Firdaus berkata, selepas itu perniagaan nasi kandar berkenaan didaftarkan pada tahun 1959 dan operasinya dijalankan oleh bapanya, Mohamed Raffee Mohamed Yusoff, 62, di Jalan Batu Gantung, Georgetown.

Katanya, selepas beroperasi selama lebih 20 tahun di Jalan Batu Gantung, kedai mereka kemudiannya berpindah ke lot kedai yang lebih luas untuk beroperasi di Pulau Tikus pada tahun 1998 sehingga kini.

Mohamed Firdaus menceritakan sehingga kini, bapanya yang berusia lebih 60 tahun masih memasak hidangan utama di restoran berkenaan iaitu kari ayam, kari daging, kari ikan dan juga ayam masak ros bagi memastikan keaslian rasa masakan tersebut kekal.

“Empat hidangan ini adalah hidangan popular di restoran ini jadi bapa saya mengambil keputusan untuk memasak sendiri bagi mengawal kualitinya.

“Selain empat hidangan utama, restoran ini mempunyai 20 menu lain seperti telur sotong, ayam goreng, daging masak kicap dan lain-lain lagi yang turut menjadi pilihan penggemar nasi kandar,” ujarnya.

Tambahnya, kuah kari restoran mereka juga dimasak menggunakan kaedah slow cooking selama lebih dua jam bagi memastikan rempah yang diadun benar-benar masak.

“Kadang-kadang jika anda perasan, apabila kita makan nasi kandar ada bau rempah yang kuat sehingga kita sendawa juga masih terhidu bau rempah.

“Tetapi di restoran kami, kuah kari yang dimasak oleh bapa saya dimasak secara perlahan sehingga rempah benar-benar masak dan diadun sempurna di dalam kuah,” katanya.

Mohamed Firdaus berkata, rempah yang digunakan untuk memasak kuah kari di restoran mereka juga dipilih sendiri oleh bapanya bagi memastikan hanya rempah berkualiti digunakan.

“Pemilihan rempah amat penting untuk menghasilkan kuah kari yang ‘surr dan padu’ seperti istilah yang digunakan oleh golongan muda pada masa ini.

“Bekalan rempah dibeli di pasaran sedia ada dan kemudiannya dicampurkan sendiri oleh bapa saya mengikut ramuan dan adunan tersendiri,” katanya.

 

MARTABAK daging antara menu istimewa yang terdapat di kedai nasi kandar Muhamed Raffee.

Selain nasi kandar, restoran berkenaan turut terkenal dengan hidangan martabak daging serta ayam dan juga roti canai.

Tambahnya, di restoran itu juga dia melihat bagaimana makanan menjadi ejen penyatuan semua bangsa tanpa mengira status atau pangkat.

“Pelanggan kami terdiri daripada pelbagai kaum, namun kami bersatu sebagai peminat nasi kandar.

“Hidangan nasi kandar di sini juga menjadi salah satu tarikan kepada pelancong ke Pulau Pinang dan saya berbangga dengan warisan turun-temurun keluarga kami,” katanya.

Tambahnya, sebelum Covid-19, restoran mereka beroperasi selama 24 jam setiap hari namun kini restoran berkenaan beroperasi mulai 8 pagi hingga 12 malam setiap hari.

“Perniagaan kami sedikit terjejas akibat Covid-19, namun sedikit demi sedikit kami perlahan-lahan bangun semula untuk peminat nasi kandar kami,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini