‘Bedah’ karya agung sastera dalam kanvas

‘Bedah’ karya agung sastera dalam kanvas

YAAKOB Abd. Aziz (tiga dari kanan) menunjukkan salah satu karya yang dipamerkan kepada pengunjung bersempena pameran Manifestasi Dua Seni Karya Agung Sastera 2024 di Galeri Seni Lukis negeri, Simpang Empat, Perlis baru-baru ini. – mingguan/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SENTUHAN lukisan oleh Rosli Mat, salah seorang pelukis terkenal negara yang bertajuk Penggesek Biola Buta diadaptasi daripada sastera genre sajak karya Nahmar Jamil cukup menarik perhatian dan menyentuh jiwa.

Begitu juga lukisan bertajuk Aku Telah Pulang diispirasikan dari puisi Sasterawan Negara berasal daripada Perlis, Datuk Rahman Shaari yang dihasilkan Pengerusi Persatuan Pelukis Negeri Perlis (PPNPs), Yaakob Abd. Aziz serta karya Belantara hasil garapan pelukis, Jamaluddin Abd. Rahman cukup melekat di jiwa.

Itu sebahagian daripada 36 karya yang dipamerkan hasil garapan pelukis-pelukis dari negeri ini bersempena Manifestasi Dua Seni Karya Agung Sastera 2024 yang berlangsung dari 11 Januari sehingga 30 Jun depan di Galeri Seni Lukis negeri, Simpang Empat, Perlis.

Pameran Manifestasi Dua Seni anjuran PPNPs itu memberi penghargaan kepada pelukis negeri ini menterjemah karya sastera agung ke dalam kanvas dengan penuh kreativiti.

Cukup unik apabila karya-karya sastera agung seperti novel, puisi serta sajak itu ‘dibedah’ sebelum disampaikan melalui mesej tersurat dan tersirat ke dalam bentuk visual di dalam kanvas oleh para pelukis tersebut.

Sebagai contoh, novel popular Salina karya agung Sasterawan Negara, Datuk Seri A. Samad Said yang menggambarkan kehidupan penuh getir masyarakat selepas perang dunia kedua pada era 1940- an di Singapura disampaikan cukup unik dalam bentuk visual oleh pelukis, Anis Suzila.

Menggunakan medium akrilik di atas kanvas, karya tersebut membawa interpretasi visual terhadap tema kehidupan desa dan cabaran manusia dalam menghadapi realiti keras.

Antaranya, lukisan itu dengan imej seorang wanita dari belakang yang melambangkan Salina sebagai simbol ketabahan seorang wanita desa yang terpinggir namun tetap berdiri dalam gelora hidup.

Selain itu, karya-karya agung lain yang dipilih para pelukis negeri ini yang diterjemahkan di dalam kanvas adalah seperti Ranjau Sepanjang Jalan dan Rentong dari Sasterawan Negara kedua, Datuk Dr. Shahnon Ahmad, Seorang Tua Di Kaki Gunung (Azizi Abdullah), Sungai Mengalir Lesu (A. Samad Said) dan Interlok serta Imam daripada Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain.

Para pelukis juga mengangkat karya dari penulis negeri ini seperti Rejab FI, Nahmar dan Nazel Hashim.

Yaakob berkata, hasil karya pelukis yang diilhamkan daripada karya sastera agung Malaysia itu menjadi penanda aras kepada kejayaan pameran yang dianjurkan ini.

Katanya, pelbagai interprestasi ilham menjadikan para pelukis sedar bahawa karya agung tersebut perlu diketengahkan sebagai karya seni dua dimensi.

“Pameran ini adalah inisiatif Balai Seni Negara dalam mengangkat semula karya-karya agung sastera ini. Ia melibatkan 33 pelukis menghasilkan lukisan daripada karya-karya agung sastera ini.

“Menerusi pameran ini, ia memberi ruang dan penghargaan buat pelukis untuk mengadaptasi karya-karya sastera agung ini ke atas kanvas 2D.

“Pelukis-pelukis ini mengambil sekitar sebulan bagi memasukkan elemen daripada karya sastera agung yang antaranya dihasilkan Sasterawan Negara seperti Rahman, A. Samad Said, Shahnon Ahmad dan beberapa penulis terkenal negeri ini,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.

Tambah Yaakob, sebelum menghasilkan lukisan itu, pelukis perlu ‘membedah’ karya-karya sastera tersebut terlebih dahulu bagi mengenalpasti elemen menarik yang boleh ditonjolkan.

PPNPs juga, katanya menganjurkan siri bengkel sebagai rangka persediaan bagi penghasilan karya lukisan yang berkualiti bersempena pameran tersebut.

Sementara itu, seorang pelukis, Salmiah Shaari,62, berkata, dia menghasilkan lukisan bertajuk Penantian berdasarkan sajak berjudul Menghitung Hari Di Tempat Begini hasil nukilan Rahman Shaari.

“Lukisan yang dihasilkan membabitkan warna gelap dan suram menggambarkan betapa suramnya hati di tengah keriuhan kota manakala warna ceria menggambarkan kegembiraan apabila kembali ke kampung yang penuh ketenangan.

“Saya mula aktif melukis sejak empat tahun lalu sewaktu pandemik Covid-19. Pada masa itu, saya belajar secara dalam talian. Selepas itu, mula aktif dalam menghasilkan karya-karya lukisan ini.

Setakat ini, saya menghasilkan lebih 60 lukisan yang berkisarkan pemandangan alam dan landskap,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN