MALAYSIA sebagai tanah berdaulat menyimpan pelbagai khazanah seni warisan budaya yang tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas walaupun terpaksa bersaing dengan arus kemodenan dunia hari ini.
Walaupun ada sebahagiannya dilihat sudah hampir ‘tenggelam’ ditelan arus kemodenan, namun seni itu tetap kukuh bertahan dalam kalangan penggiatnya yang masih kental berjuang bagi memastikan ia bergerak seiring dengan dunia hari ini.
Menyedari pentingnya mempertahankan warisan negara itu, Persatuan Cinta Seni Budaya (Persidaya) dengan sokongan penuh Kementerian Perpaduan Negara serta kerjasama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kemuncup menghimpunkan 12 seni tradisi rakyat Malaysia menerusi penganjuran Festival Titih Angin Sebangsal Baka.
Bangkit semangat, tarian Sabah-Sarawak, kertok kelapa, gendang siam, menora, dondang sayang, tappu meelam, dikir barat, gendang cina dan nyanyian lagu-lagu daerah antara seni lain yang ‘dijamu’ kepada penonton yang berkunjung ke festival berkenaan di Padang Awam, Kampung Kemuncup, Machang, Kelantan baru-baru ini.
Lebih menarik, dikir laba yang merupakan seni terawal wujud di negeri serambi Mekah ini antara keunikan yang diperagakan kepada orang awam selain tarian Jo’oh Mahmeri daripada masyarakat Orang Asli.
Seni satukan Malaysia
Menurut pengarah program Mohd. Sulhie Yusoff berkata, kenaikan yang ditampilkan ini merupakan satu ‘eksperimen sosial’ dalam mengukur peranan seni untuk menyatukan rakyat Malaysia.
Katanya, hasil pemerhatian yang dilakukan mendapati percampuran kaum dan bangsa di atas satu pentas telah membentuk satu ‘ikatan’ perpaduan kukuh antara penggiat seni.
“Melalui perkongsian pentas ini, kami dapat bertukar-tukar pandangan dan pendapat dalam usaha mengangkat seni warisan bangsa itu supaya kekal relevan walaupun terpaksa bersaing dengan arus kemodenan dunia mutakhir ini.
“Setiap seni yang dipersembahkan ini mempunyai ‘aura’ masing-masing. Jadi, sayanglah jika ia dibiarkan begitu sahaja tanpa dijiwai oleh seluruh rakyat Malaysia,” katanya.
Mohd. Sulhie berkata, uniknya seni di Malaysia mempunyai tarikan tersendiri walaupun ia diperturunkan kepada bangsa lain.
“Lihat sahaja dikir barat, semua orang boleh mencuba dan menjiwai seni ini tanpa sebarang halangan. Seni itu sudah menjadi ‘universal’ dan tidak terhad kepada orang Kelantan sahaja.
“Begitu juga dengan seni-seni lain di Malaysia. Seluruh rakyat Malaysia perlu mempelajarinya tanpa perlu ada ‘stigma’ negatif kerana seni itu adalah jiwa yang mampu menjadi rumpun perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai bangsa di negara ini,” katanya.
Dikir laba
Mohd. Sulhie berkata, dikir laba antara seni terawal Kelantan yang dilihat semakin kurang dikenali dalam kalangan generasi muda hari ini.
Katanya, bagaimanapun dikir laba masih lagi kukuh dimainkan cuma kurang diketengahkan.
“Jadi, saya angkat semula seni ini kepada tatapan umum menerusi Festival Titih Angin Sebangsal Baka,” ujarnya.
Terus berjuang
Sementara itu, Pengerusi Persidaya, Aniza Musa berkata, pihaknya mahu mengetengahkan lebih banyak seni unik yang semakin luput ditelan zaman pada hadapan.

“Semua pihak perlu berganding bahu bagi memastikan seni warisan bangsa itu kekal revelen mengikut rentak perubahan dunia hari ini,” katanya.
Menora
MENORA yang sinonim dengan masyarakat Siam turut dipersembahkan supaya kekal relevan dalam kalangan rakyat Malaysia.










