Tentang semangat Rossem dan jiwa kartun

Tentang semangat Rossem dan jiwa kartun

Menghidupkan kembali watak konstabel Jabit agak sukar, kerana watak itu polis, sedangkan saya sekarang sudah lama pencen. - Rossem
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUDAH banyak yang berkembang dalam dunia kartun sejak lebih 30 tahun lalu di negara ini termasuklah antaranya melibatkan kartunis anak kelahiran Kelantan, Rossem atau nama sebenar Rosidi Ismail,

Paling ketara semestinya berbentuk buku yang cukup popular satu masa dahulu. Bagaimanapun, perkembangan teknologi memberi kesan kepada industri kartun, dengan tiada lagi kehangatan sebagaimana era 70-an sehinggalah 90-an.

Majalah humor seperti Ujang, Apo? dan Gila-Gila yang pernah mencetus fenomena satu ketika dahulu tinggal kenangan dan bukan lagi menjadi pilihan generasi pada masa kini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Untuk terus berkarya, banyak kartunis yang cukup terkenal satu masa dahulu kini bergerak secara sendiri atau bersama rakan kongsi, memenuhi tuntutan jiwa dan mencari rezeki.

Rossem atau nama sebenar Rosidi Ismail, 75 yang masih terus melukis sehingga kini dengan jiwanya pada lukisan kartun masih kekal dan tidak pernah luntur
“Sekarang usia saya sudah 75 tahun. Alhamdulilah dengan kesihatan yang baik, saya masih terus melukis walaupun tiada ruangan tetap di akhbar seperti dahulu,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.

Cintanya kepada seni lukisan kartun tidak dapat disangkal menerusi pembinaan Balai Kartun Rossem ( BKR) yang kini sudah 10 tahun.

Menurutnya, balai tersebut bukan sahaja dikunjungi pelawat tetapi pelajar institusi pengajian tinggi untuk pembelajaran mereka berkaitan seni kreatif.

“Terdapat pelbagai karya dipamerkan di BKR, lukisan kartun karya saya dan juga karya kartunis lain termasuk luar negara. Lukisan komik juga dipamerkan dan terdapat karya pelukis komik terkenal era 1960-an, 1970-an dan 1980-an,” ceritanya.

Mengimbau kembali kenangan dan sejarah watak kartun Konstabel Jabit yang pernah popular suatu masa dulu, Rossem berkata, dia mampu bertahan selama 15 tahun di akhbar Utusan Malaysia dari tahun 1978 hingga 1993.

“Itu pun pada 1993 saya mengundur diri kerana saya mula bekerja dengan akhbar The Sun sebagai kartunis editorial. Namun, meskipun saya bekerja dengan akhbar lain, saya tetap menyumbang kartun editorial untuk akhbar Utusan Zaman (Jawi) sehingga akhbar itu ditutup,” terangnya.

Pengalaman luasnya dalam dunia kartun berjaya membawa dirinya sehingga ke peringkat antarabangsa terutama peranan sebagai juri, sekali gus memberi banyak pendedahan dan industri.

“Pengalaman tersebut mendedahkan saya bahawa kartunis memiliki kekuatan dalam menegur atau mengingatkan masyarakat atau pemerintah tentang kepincangan yang berlaku di kawasan masing-masing.

“Kepincangan itu sama saja di negara mana pun, contohnya isu rasuah. Kartun- kartun saya tentang rasuah pernah dipamerkan di Indonesia. Begitu juga tentang alam sekitar,”ujarnya.

Namun dia kesal selepas ramai kartunis di Malaysia yang mempunyai bakat hebat, tetapi tidak ke peringkat antarabangsa.

“Untuk makluman, di peringkat antarabangsa terdapat beberapa laman sesawang khusus untuk mengetahui maklumat aktiviti di seluruh dunia. Antaranya yang popular Iran Cartoons, Syria Cartoons, Egypttoon, Indiatoon, Gold pencil (Indonesia). Malaysia tidak ada, jadi jaringan itu terputus.

“Di laman Irancartoon misalnya, disenaraikan kartunis-kartunis dari seluruh dunia, di situ kita boleh mengetahui, negara mana paling ramai kartunis yang terlibat di peringkat antarabangsa. Bukan semua kartunis itu bagus dari aspek karyanya, kartunis Malaysia lagi bagus. Jadi, kartunis negara ini perlu meredah lautan hingga ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Katanya, untuk menjalin hubungan antarabangsa, kartunis Malaysia harus membuka laman sesawang khusus dan mempelajari kesungguhan pengendali laman web antarabangsa.

“Mereka sanggup mengorbankan masa dan tenaga mewujudkan jaringan seperti itu. Saya telah mewujudkan Facebook Rossem Cartoon House sebagai sebagai penghubung dengan kartunis antarabangsa.
“Selain itu, ada juga jaringan komunikasi menerusi WhatsApp antarabangsa yang saya sertai. Dari situ info disebarkan sepantas kilat,”jelasnya.

Ketika ditanya sama ada mahu menghidupkan semula watak Konstabel Jabit, Rossem berkata, ia dilihat sukar dengan situasi sekarang.

“Konstabel Jabit pernah dibukukan pada 1983 dan diterbitkan oleh Utusan Publication sebaris dengan kartun Din Teksi ( Nan) dan Prebet Dabus ( Rejabhad).Malah buku Konstabel Jabit itu diberi kata pengantar oleh

Allahyarham Pak Sako ( Ishak Hj Muhammad). Itu kenangan tak dapat dilupakan kerana kata pengantar ditulis seorang tokoh kemerdekaan dan sasterawan terkenal.

“Namun menghidupkan kembali watak konstabel Jabit agak sukar, kerana watak itu polis, sedangkan saya sekarang sudah lama pencen. Mungkin situasi kepolisan sudah berubah,” jelasnya.

Dalam pada itu, Rossem ketika ditanya tentang kesan perkembangan kecerdasan buatan (AI) terhadap industri kartun yakin teknologi itu tidak akan ‘membunuh’ karya dan pelukis-pelukis hebat.

“Masyarakat akan memilih kartun yang dilukis secara tradisional dan asli. Al seperti yang lain juga, datang dan pergi bak angin lalu,” ujarnya.

Beliau kini terlibat dalam proses penghasilan karya bertajuk Sebuah travel log JALAN-JALAN dan beberapa projek lain untuk tahun ini.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini