“SAYA tidak pasti sejauh mana penerimaan anak muda terhadap karya berbentuk puisi ketika era ledakan zaman teknologi, ” ujar Art Fazil.
Apatah lagi dengan penekanan subjek yang lebih terarah kepada sains teknologi atau kejuruteraan menjadikan matapelajaran berkaitan puisi dan Kesusasteraan Melayu seakan-akan diketepikan.
Sasterawan mungkin bukan lagi ikon dan tokoh yang perlu diangkat satu masa nanti seandainya perkara seperti ini berterusan.
Bagaimanapun, ketika bergelut dengan zaman yang segalanya berteraskan teknologi, karyawan dan juga artis Singapura, Art Fazil tetap meneruskan perjuangan dalam hal-hal berkaitan kesusasteraan serta seni dengan puisi bertajuk Selfie dari Jendela Keretapi.
Puisi ini menceritakan pengalaman Art Fazil atau nama sebenarnya Fazil Sultan semasa mengembara di Indonesia sebelum ini.
Karya ini antara koleksi puisi beliau yang dikumpul selama tujuh tahun dan menceritakan pengalaman serta sudut pandang semasa mengembara di Bali dan Tanah Jawa, Indonesia sebelum ini.
Art Fazil mengangkat Indonesia dan Malaysia dalam jiwanya yang begitu dekat dengan nusantara, tidak sekadar menjadikan Singapura sebagai satu-satunya tempat lahir baginya.
Malah menerusi puisi Selfie dari Jendela Keretapi, Art Fazil cuba membawa puisi ke tengah khalayak dan mahu menjadikan wadah terutama untuk orang muda berekspresi menerusi persembahannya baru-baru ini.
Persembahan solo selama lebih sejam itu dibawakan ‘The Tingkap Series Masakini Theatre Company’ di Studio Ramli Hassan di Taman Tunku di Kuala Lumpur pada 26 sehingga 28 Januari lalu.
Apa yang menarik, Art Fazil bukan hanya mendeklamasikan puisi Selfie dari Jendela Keretapi secara live pada hari tersebut, tetapi turut diselang-selikan dengan nyanyian lagu-lagu puisi.
Antara lagu yang dibawakan ialah Aku Melayu di Kota Inggeris; Good Morning Jogja dan Heri Dono selain lagu lain.
Art Fazil ketika ditemui Mingguan Malaysia baru-baru ini berkata, puisi berkenaan menceritakan tentang pelbagai pengalaman dan perjalanan yang telah dilalui sepanjang mengembara di Indonesia
“Ia pengembaraan mencari diri ketika di sana. Perjalanan banyak menggunakan keretapi dan tajuk selfie itu sendiri membawa erti bahawa kita melihat wajah kita,” jelasnya.
Dalam pada itu, Art Fazil ketika ditanya tentang penerimaan puisi dalam kalangan masyarakat dan generasi muda berkata, ia hakikatnya semakin berkembang serta mampu menarik minat ramai.
“Perlu digabungkan deklamasi puisi dengan persembahan lagu-lagu berbentuk puisi. Sebagai contoh lagu bentuk puisi ringan yang boleh dinyanyikan dan dibaca. Dalam erti kata lain, tidak berat.
“Lagu puisi yang bagus adalah puisi yang sebegitu. Lagipun pendekatan menerusi muzik paling bagus kepada generasi muda. Cari yang ringan dan menikmati keindahan tatabahasa, perkataan baharu dan susunan ayat,”jelasnya.
Tambah Art Fazil, penggunaan bahasa itu penting untuk menggalakkan generasi muda meminati puisi. UTUSAN










