Sewaktu Alauddin ingin memulakan kerja-kerja pejabat, telefon bimbitnya berbunyi. Butang pesanan menyala. Sebaik menekan butang pesanan, terpampang nama Prof. Madya Dr. Badrun.
“Salam Din. Tengah hari ni awak free tak? Saya nak ajak awak makan di Bangi. Saya belanja hari ini.”
Alauddin terkejut membaca mesej tersebut. Seribu persoalan muncul di kepalanya. Sepanjang dia bekerja, inilah kali pertama seorang pensyarah mengajaknya makan tengah hari. Mimpi apakah yang dialami Dr. Badrun hingga mengajaknya makan bersama? Alaudin hanya makan tengah hari bersama kawan-kawan sejawatannya dalam golongan B40 manakala Dr. Badrun golongan T20 sudah tentu kawan-kawannya dalam golongan T20 juga.
Alaudin menjadi serba salah. Hendak menerima pelawaan Dr. Badrun atau menolaknya. Hubungan dia dengan Dr. Badrun bukannya rapat pun. Dia mengenali Dr. Badrun kerana urusan kerja di bawah majikan yang sama. Bangunan pejabatnya terlalu jauh dengan pejabat Dr. Badrun.
Alauddin masih kebingungan. Jika dia menolak pelawaan Dr. Badrun, nanti dikata sombong pula. Kebiasaannya apabila seseorang hendak belanja makan, sudah pasti kawan- kawan rapat atau kawan-kawan sepejabat. Kawan-kawan yang jauh lokasinya, jarang dipelawa belanja makan.
Alauddin terfikirkan sesuatu. Kenapa Dr. Badrun tiba-tiba mengajaknya makan bersama? Hubungan mereka bukanlah akrab seperti dua orang sahabat. Hendak berjumpa sekali dalam setahun pun susah. Jika berjumpa pun adalah kerana urusan kerja yang telah diarahkan oleh pegawai atasannya.
Pelawaan Dr. Badrun masih belum dijawab oleh Alauddin. Fikirannya masih menerawang. Dia benar-benar berasa serba salah. Gerak hati Alauddin semacam Dr. Badrun ingin menyatakan sesuatu kepadanya.
Jika benarlah telahannya, perkara apakah yang akan dibicarakan oleh Dr. Badrun? Setahu Alauddin, dia tidak pernah berbual-bual dengan Dr. Badrun seperti dia berbual-bual dengan kawan-kawannya apabila berjumpa atau lepak-lepak di warung atau restoran. Dia hanya kenal Dr. Badrun kerana urusan kerja di bawah satu majikan.
Hati Alauddin masih berbolak balik. Dia berasa dirinya terlalu kerdil hendak makan bersama-sama dengan Dr. Badrun. Ibarat pipit dengan helang. Alauddin memang tahu, nama Dr. Badrun memang dikenali di bawah majikannya.
Wajarkah Alauddin menerima ajakan Dr. Badrun. Dia masih melongo memandang telefon bimbitnya. Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi. Butang pesanan menyala lagi. Hati Alauddin berdebar-debar. Jelas nama Dr. Badrun di skrin telefon bimbitnya.
“Din, awak jadi ke pergi makan tengah hari dengan saya? Saya memang nak belanja awak makan ni!”
Jari-jari Alauddin pantas menaip. Dia tidak mahu dituduh sombong kerana tidak menjawab. Apatah lagi orang yang berjawatan seperti Dr. Badrun.
“Wasalam, Prof. Saya rasa segan lah, Prof.” Tidak sampai 30 saat, Dr. Badrun telah membalas hantaran pesanannya.
“Kenapalah awak nak segan dengan saya, Din. Kita berdua saja. Jom! Saya ambil awak di hadapan foyer pejabat awak dalam pukul 12.45 tengah hari nanti”
“Baik lah, Prof. Saya tunggu Prof. datang.”
Alauddin akur dengan kehendak Dr. Badrun. Namun benaknya masih ditusuk dengan seribu tanda tanya. Dr. Badrun tiba-tiba mempelawanya makan tengah hari. Sepanjang dia bekerja, hanya kawan-kawan rapat sahaja yang selalu belanja dia makan.
Sementara menunggu waktu tengah hari, Alauddin melaksanakan tugas hakiki sehariannya. Tangannya bergerak tetapi fikirannya tidak fokus kepada apa yang dilakukannya. Gerak hatinya mengatakan bahawa ada sesuatu yang akan dibicarakan oleh Dr. Badrun.
Menjelang pukul 12.45 tengah hari, Alauddin sudah terpaku di tangga hadapan foyer.
Matanya melilau memandang ke luar bangunan. Dia tidak dapat membayangkan kereta jenis apa yang dipandu oleh Dr. Badrun. Dia tidak pernah terserempak atau melihat kereta Dr. Badrun. Alauddin memandang jam di tangannya.
Sebuah kereta mewah berwarna hitam berhenti di hadapan tangga. Tingkap hadapan sebelah penumpang terbuka secara automatik. Satu suara melaung dari dalam kereta.
“Din, masuk lah!”
Rupa-rupanya suara Dr. Badrun. Alauddin seakan terkejut. Dia lantas membuka pintu pintu kereta dan duduk di hadapan sebelah Dr. Badrun.
“Assalamualaikum, Prof. Terima kasih kerana sudi belanja saya makan,” kata Alauddin sambil bersalam dengan Dr. Badrun.
Kereta Dr. Badrun meluncur menuju ke Bangi. Alauddin berasa kagum sekali berada dalam kereta mewah milik Dr. Badrun.
Inilah kali pertama Alauddin dapat merasa menaiki kereta mewah berjenama.
“Saya akan bawa Din makan di restoran nasi Arab yang sedap di Bangi,” ujar Dr. Badron. Kemudian dia lebih memfokuskan kepada pemanduannya.
Keadaan menjadi sunyi. Alauddin bagaikan terkunci mulutnya hendak berbual-bual dengan Dr. Badron.
“Haaa dah sampai! Jom!” Teriak Dr. Badrun mengejutkan Alauddin yang leka memandang keluar kereta.
Alauddin dan Dr. Badrun masuk ke dalam restoran. Dr. Badrun ambil tempat duduk di meja yang agak tersorok di belakang tiang. Sebaik sahaja mereka duduk, pelayan restoran datang mendekati mereka.
“Din nak ayam ke, kambing?” Tanya Dr. Badrun.
“Ayam. Bagi saya teh o ais!” Jawab Alauddin sambil menoleh kepada pelayan.
“Nasi Arab ayam mandy dengan nasi arab lamb mandy. Teh o ais dengan air jus oren!” Beritahu Dr. Badrun kepada pelayan.
Dalam restoran sudah mula dipenuhi dengan pelanggan yang datang untuk makan tengah hari. Apatah lagi pukul 1 tengah hari hingga pukul 2 petang merupakan waktu rehat para pekerja.
“Din selalu ke menulis dalam akhbar rasmi majikan kita?” Tiba-tiba Dr. Badrun bertanya ketika mereka berdua sedang khusyuk menjamah nasi arab yang sedapnya memang luar biasa. Alauddin bagaikan tersentak.
“Mana Prof tahu saya menulis?” Tanya Alauddin yang tidak terus menjawab.
“Saya ini kan pensyarah. Kenalah sentiasa membaca. Berapa lama dah Alauddin menulis di akhbar rasmi majikan kita tu?” Beritahu Dr. Badrun disusuli dengan pertanyaan.
“Saya ni dilantik menjadi wartawan sukarela. Tak ada gaji pun. Saya menulis tentang sastera dan budaya. Khususnya penglibatan staf dalam penulisan dan seni,” Beritahu Alauddin sambil mulutnya mengunyah ayam mandy yang terlalu sedap rasanya.
“Saya hendak cakap satu perkara, boleh?” Kata Dr. Badrun dengan nada serius. Alauddin sudah dapat merasakan inilah sebabnya Dr. Badrun mengajaknya makan tengah hari.
“Saya minta Din jangan tulis pasal Dr. Wong!” Nada suara Dr. Badrun seperti seorang ketua memberi arahan.
“Kenapa pula tak boleh tulis, Prof?” Tanya Alauddin dengan nada terkejut.
“Alaaaa! Ramai lagi pensyarah yang pandai menulis. Hebat menulis!” Beritahu Dr. Badrun. Wajahnya begitu serius.
“Tapi berita yang saya tulis itu berdasarkan bakat Dr. Wong dalam penulisan sastera.
“Dia begitu aktif dan produktif berkarya. Dia turut mewarnai perkembangan jagat kesusasteraan Melayu. Karya-karyanya turut mendapat pengiktirafan,” hujah Alauddin dengan penuh yakin.
Alauddin mula rasa tidak selesa. Selera makannya tiba-tiba menurun. Kenapa pula Dr. Badrun bersikap demikian? Sastera itu milik semua. Bakat menulis itu ada pada semua manusia.
“Saya nak Din tulis pasal pensyarah senior dulu. Pensyarah yang lebih tua. Mereka inilah yang lebih dulu menyemarakkan dunia pendidikan!” Nada suara Dr. Badrun agak keras.
“Tapi ruangan sastera dan budaya itu lebih menonjolkan tentang bakat penulisan seseorang. Tak semua orang ada bakat menulis ini.
“Kebetulan Dr. Wong menyerlah dalam dunia sastera Melayu. Rasanya, tak salah saya paparkan untuk pengetahuan semua staf. Sekurang-kurangnya boleh menjadi inspirasi!” Alauddin berhujah lagi untuk menangkis kemahuan Dr. Badrun.
Entah semangat apa yang datang, Alauddin tidak gentar dengan arahan dan kemahuan Dr. Badrun. Dia menulis berdasarkan fakta yang benar.
Dr. Badrun bukan Ketua Editor akhbar rasmi majikannya. Selama Alauddin menulis untuk ruangan sastera dan budaya, tidak timbul sebarang masalah. Malah ruangan yang Alauddin tulis itu menjadi rujukan mahasiswa yang mengambil kursus penulisan kreatif.
“Saya mahu Din ikut arahan saya. Din tahukan kuasa saya dalam majikan,” Dr. Badrun mengulangi pendiriannya dengan satu arahan. Alauddin tidak gentar dengan ugutan itu. Sebaliknya Alauddin mengemukakan satu soalan kepada Dr. Badrun.
“Boleh Prof. namakan pensyarah senior yang berbakat dalam penulisan dan mendapat pengiktirafan di peringkat kebangsaan?”
Dr. Badrun diam tidak menjawab. Biji matanya bergerak ke atas ke bawah. Kemudian dia bangun mengajak Alauddin balik ke pejabat.
Dalam kereta, masing-masing diam. Alauddin sendiri sudah hilang minat hendak berbual kerana sikap Dr. Badrun.
Sampai di hadapan foyer pejabat, Alauddin keluar dari kereta Dr. Badrun sambil mengucapkan terima kasih. Sebaik pintu kereta pintu ditutup, deruman enjin kereta berjenama Dr. Badrun mengaum menusuk telinga.
Sewaktu kaki Alauddin melangkah anak tangga foyer pejabat, tiba-tiba dia merasakan tekaknya mual. Perutnya bagaikan bergelojak. Dia terus berlari menuju ke arah longkang di hadapan pejabat. Sebaik sahaja Alauddin tunduk, dia terjeluek muntah. Nasi arab ayam mandy yang dimakannya tadi semuanya keluar dari dalam perutnya. Dia termengah-mengah menahan kesakitan.
Alauddin berasa pelik. Kenapa pula dia muntah selepas makan. Selama ini dia tidak pernah mengalaminya. Spontan Alauddin teringatkan Dr. Badrun.
“Ikhlas ke tidak Dr. Badrun belanja aku makan tengah hari tadi!” Bisik Alauddin. – MINGGUAN MALAYSIA










