LUKISAN atau catan bukan saja merupakan mimesis kepada suatu subjek sama ada dari alam benda, alam semulajadi ataupun manusia.
Selain merakamkan peristiwa atau lanskap tertentu, lukisan mempunyai falsafah dan mesejnya tersendiri. Lukisan dan catan juga direpresentasikan dengan pelbagai aliran, gaya, teknik dan aplikasi pelbagai media.
Ada juga lukisan atau catan mampu untuk mengembalikan nostalgia kepada khalayaknya. Sebagai contoh, mereka yang lama berhijrah ke kota akan berasa terharu melihat gubahan citra kampung sambil mengimbau kenangan manis sewaktu kecil.
Pelukis catan yang tersohor dengan gaya Melayu, Anuar Dan, pula mahu menterjemahkan persepsi dan pemerhatiannya dengan mengkaji dan menghasilkan catan dan lukisan berasaskan subjek seni bina di bandar dan kota metropolitan.
Beliau yang sebelum ini, terkenal dengan siri-siri catan dan lukisan rumah dan perkakasan Melayu mahu meningkat setahap lagi dengan mengkaji subjek rumah dan bangunan dari sudut baharu di bandar dari pandangan belakang.
Anuar yang lebih 40 tahun melukis dan merupakan lulusan Sarjana Muda Seni Reka Grafik dari Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi MARA itu, mahu terus mengkhazanahkan subjek bangunan di Malaysia.
“Saya bermula melukis siri buah-buahan di Malaysia, kemudian mengkaji rumah-rumah dan perkakasan orang Melayu klasik melalui pembacaan dan kajian lapangan.
“Bila seseorang berada di bandar mereka akan merindukan kampung halaman, begitu juga dengan seseorang yang berada di bandar yang pulang menetap di kampung,” kata beliau.
Semasa Covid-19 melanda, Anuar kurang berkarya sebaliknya, menjalankan penyelidikan melalui analisis kandungan dan pembacaan melalui media sosial untuk mencari gagasan baharu dalam menghasilkan catan dan lukisan.
Bila wabak mereda, Anuar terus memindahkan lakaran-lakarannya bertemakan rumah dan bangunan di bandar ke atas kanvas dengan berbagai ukuran dan saiz menggunakan media akrilik.
Dia juga keluar untuk mengambil gambar bangunan dan rumah di Kuala Lumpur dan sekitar Lembah Klang yang kemudiannya digubah dengan kombinasi gaya Melayu, kubisme dan seni pop.
Anuar merakamkan semua kategori rumah termasuklah rumah setinggan, rumah kedai, rumah flat, rumah teres, rumah bunglo, apartment, kondominium dan digabungkan dalam satu catan dengan konsep ulangan.
Padanan warna yang cerah dan garang dalam catan Anuar, juga untuk memperlihatkan kegirangan dan kemeriahan masyarakat di bandar dengan bentuk rumah dan bangunan yang unik dan berbeza.
Menurutnya, beliau akan melukis dari sudut pandangan atas (bird eye view) atau bawah (worm eye view) selain membuat tindah-tindih dengan olahan rupa dan garisan yang lurus dan tepat.
“Saya mengambil masa agak lama juga untuk menentukan garisan dan rupa yang dibuat di atas kanvas itu tuntas tanpa menggunakan pelekat atau pembaris.
“Catan saya juga perlu diimbangi dengan warna gelap untuk memperlihatkan ruang, perspektif dan dimensi dalam karya yang dihasilkan,” katanya.
Sementara itu, setiap catannya, akan diberi tajuk yang puitis seperti Siri bandar: Rumah kami di Kota Warna dan Siri bandar: Memori di Kuala Lumpur. Semuanya sebagai catatan kenangan individu dan keluarga ketika hidup di kota.
Catan siri-siri bandar Anuar, juga semakin diminati ramai dan beliau menggunakan platform di pasar raya-pasar raya besar di sekitar Lembah Klang untuk mengadakan pameran dan jualan.
Di samping itu, dia juga bercadang untuk mengadakan pameran retrospektif solo di Balai Seni Lukis Negara, Kuala Lumpur atau Langkawi atau di mana-mana galeri yang strategi di ibu negara.
Selain mendokumentasikan bangunan dan rumah, dia berharap karya catannya juga akan menjadi koleksi pelancong dari luar negara sambil menikmati, mengenali dan menjulang Malaysia ke persada antarabangsa.
Catannya yang bermula dari ukuran satu kali satu kaki sehingga ke ukuran paling besar juga mengikut permintaan pelanggan dengan harga paling minimum RM300.
Dia yang sebelum ini memasarkan karyanya di pasar seni, sekarang berpindah ke studio di kediamannya di Shah Alam. – Mingguan Malaysia
Siri catan dan lukisan bangunan gamit kenangan
- Oleh SOLIHIN OSMAN
- 24 September 2023, 5:02 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
1MDB moga yang terakhir…
3 November 2024, 9:03 am
Gaji zaman dulu ketimbang gaji sekarang, banyak beza?
27 Oktober 2024, 10:17 am
Kenapa sampai perlu ditembak?
27 Oktober 2024, 10:03 am