Vaksin dari gunung - Utusan Malaysia

Vaksin dari gunung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Karya MUKHTAR MUSTAFA
Keputusan Kasdi sudah muktamad. Dia tidak akan berganjak lagi. Hatinya nekad dengan keputusan itu. Bulat dan padu. Dia tetap akan meredah hutan belantara. Dia akan berjalan kaki menuju ke kaki Gunung Kemilau. Dia akan menghimpun seluruh tenaga kelelakiannya untuk mendaki gunung itu.
Di Gunung Kemilau itulah tersimpan dengan banyaknya pohon-pohon berkhasiat yang boleh dibuat penawar dan ubat. Bermacam-macam pohon ubatan tumbuh di gunung itu. Dia akan berkampung sekitar seminggu di situ untuk menyelesaikan hajatnya.
Kasdi tidak akan menghiraukan segala tegahan dan larangan daripada emak dan ayahnya. Dia membiarkan sahaja segala bebelan dan rungutan mereka berdua. Tanpa menjawab sepatah pun kata-kata mereka, Kasdi mengambil guni jalur dan membungkus cangkul serta parang panjang. Kemudian dia mengikat kemas-kemas dengan tali mempelas dan menyandarkan di tepi tangga.
Pagi-pagi lagi dia mengatur langkah jantannya meninggalkan rumah. Memikul bungkusan cangkul dan parang serta membimbit bungkusan makanan untuk seminggu. Dia menghulur salam kepada emak dan ayah. Dengan wajah masam berkerut emak dan ayahnya menyambut salam anak sulung mereka itu. Wajah mencuka suami isteri itu mengiringi langkah-langkah Kasdi meninggalkan rumah.
Kasdi tidak berpaling lagi. Tempat tujuannya adalah Gunung Kemilau, satu-satunya gunung yang terdapat di perkampungan Becah Palas. Hajatnya hanya satu. Akar kayu pohon tunjuk langit perlu dicari dan digali. Semuanya akan diisi ke dalam guni jalur. Semuanya mesti dibawa balik ke rumah.
Jika semua itu tidak ditemui, Kasdi bertekad, dia tidak akan pulang ke kampung Becah Palas, kampung kelahirannya. Dia mesti memiliki semua itu. Akar tunjuk langit itu perlu dipikul dan dibawa ke rumah. Jika tidak ditemui, lebih seminggu pun dia akan berkampung di puncak Gunung Kemilau. Berlapar pun berlaparlah. Jika bekalan yang dibawa kehabisan, dia pun reda. Biarpun terpaksa memakan umbuk bayas dan minum air embun. Dia tidak akan pulang dengan tangan kosong. Dia malu pada emak dan ayah. Dia malu pada orang kampung.
Selain emak dan ayah mengetahui hajat dia ke Gunung Kemilau, orang kampung juga tahu. Mereka tahu Kasdi akan masuk ke hutan kali ini dengan hajat yang lebih besar. Kasdi akan mendaki Gunung Kemilau. Kasdi akan mencari akar-akar kayu, bunga-bunga dan daun-daun untuk dijadikan ubat.
Memang itulah kerja Kasdi. Memang kerjanya mencari bahan-bahan itu sejak sekian lama. Dari bukit turun ke lembah. Dari lembah turun ke sungai. Dari sungai mendaki gunung. Pendek kata, akar kayu dan gunung, bukit dan sungai tidak boleh dipisahkan lagi dari kehidupan Kasdi.
Kebiasaannya dia naik ke gunung dan bukit semata-mata mencari tongkat Ali untuk dibuat pelbagai ubat, termasuk ubat untuk mengurangkan sakit-sakit badan dan sakit urat. Memang air akar kayu buatan Kasdi sudah terkenal. Air akar kayu yang telah dicincang dan direbus boleh meringankan ketegangan urat. Dia juga mencari pokok Kacip Fatimah ramuan untuk wanita selepas bersalin. Semuanya memberi kesan baik. Semua ibu lepas bersalin memuji ubat tradisional akar kayu buatan Kasdi.
Cuma kali ini, kerja Kasdi  lain daripada lain. Misi dan tujuannya mengejutkan semua orang termasuk Mak Minah dan Pak Awang.
“Kita sesekali tidak akan makan ubat ayah. Kita tidak mahu disuntik.”
“Habis kau nak mati ke Kasdi,’’ suara Pak Awang menyeringai.
“Ya, saya tidak percaya semua itu,” balas Kasdi. Ayahnya terkejut.
“Semua orang kampung ini sudah daftar Kasdi,” pujuk Mak Minah. Kasdi menggeleng-gelengkan kepala.
“Ramuan yang saya akan cipta ini akan lebih berkesan.”
“Ramuan yang akan saya cari ini, boleh menjauhkan penyakit Covid-19. Percayalah pada saya ayah,” Kasdi meyakinkan ayah dan emaknya.
Pak Awang dan Mak Minah terdiam. Mulut mereka terkumat-kamit seperti ingin berkata sesuatu. Tetapi suara mereka tidak terdengar apa-apa. Mereka kemudian bingkas bangun meninggalkan Kasdi yang sedang mengasah parang dan cangkul di tepi tangga.
“Keras pedal. Tak mahu dengar nasihat orang,” Pak Awang berlalu dari ruang tangga sambil membebel.
Kasdi berpaling ke arah ayah dan emaknya yang telah jauh meninggalkanya.
“Aku akan buktikan kepada ayah dan emak. Aku akan buktikan kepada semua orang kampung. Ramuan aku ini adalah vaksin terbaik,” Kasdi bercakap sendirian.
“Air akar kayu tunjang pohon tunjuk langit akan menyelamatkan kita semua.”
Kasdi bangun dari tongkol tembusu yang didudukinya. Dia mengelap-lap mata cangkul dan mata parang dengan kain lepas yang diambil dari atas bahunya. Dia tersenyum dan tersengih sendiri.
***
Ketika matahari betul-betul terpacak di atas kepala, Kasdi sudah sampai di kaki Gunung Kemilau. Dia meletak bungkusan cangkul dan parang di pangkal pokok beringin. Dahan pokok beringin yang rendang dan rimbun itu tidak ditembus cahaya matahari.
Dia meneduhkan tempat Kasdi berhenti rehat. Kasdi kemudian melabuhkan punggungnya di atas akar pohon beringin. Dia minum beberapa teguk bekalan air yang dibawa, sebelum bangun kembali untuk meneruskan pendakian.
Fasa pendakian Gunung Kemilau memang memenatkan. Tetapi ia sudah menjadi kerja rutin bagi Kasdi. Bagi Kasdi, mendaki Gunung Kemilau ibarat satu riadah. Ia sudah terlalu acap kali. Bongkah-bongkah batu yang dipijaknya setiap kali mendaki telah mengenali tapak kaki Kasdi.
Ketika sampai ke kawasan lapang berhampiran puncak, matahari telah  banyak condong ke Barat. Seperti biasa Kasdi memilih pokok Merbau Merah sebagai tempat dia bermalam. Pokok Merbau Merah sebesar dua pemeluk itu mempunyai banir lebar. Di celah-celah banir itulah dia akan bermalam sepanjang menjadi tetamu Gunung Kemilau.
Malam pertama Kasdi menghidupkan unggun api. Batang-batang kayu dan tunggul lama dijadikan umpan. Memang itulah petua setiap kali dia berada di puncak Gunung Kemilau. Unggun api perlu dinyalakan sebaik sahaja masuk waktu Maghrib sehinggalah sampai ke waktu subuh. Selain untuk menerangi kawasan sekitar, unggun api juga boleh menghalau binatang liar termasuk harimau, ular dan kala jengking.
Kasdi sudah arif benar dengan Gunung Kemilau. Dia arif tentang harimau belang. Bukan harimau tidak ada di Gunung Kemilau, memang ada. Bukan tidak takut, tetapi sudah jadi alah bisa tegal biasa. Sebab itulah, setiap kali dia sampai di sini Kasdi akan membersih kawasan, menebas dan membakar semua belukar.
Alhamdulillah, usaha yang diamal oleh Kasdi itu berjaya. Pertama kali ketika berada di puncak Gunung Kemilau dulu, Kasdi hampir-hampir berlari turun pada tengah malam. Ngauman Sang belang mengecutkan perut dan melemahkan semangat. Semalam itu, Kasdi tidak tidur. Keesokan hari dia meninggalkan Gunung Kemilau.
Ayah dan emaknya hanya ketawa bila mendengar cerita Kasdi.
“Bila sampai ke tempat orang mesti berhati-hati Kasdi. Gunung Kemilau tu bukan rumah kita. Kau kena sembahyang hajat. Bersihkan kawasan itu. Nyalakan api,” Pak Awang mengingatkan anaknya.
“Kena jaga percakapan. Mulut jangan celupar. Binatang itu pun ada nalurinya,” sambung Mak Minah.
Sejak peristiwa kali pertama itu, tidak ada lagi sebarang gangguan, hinggalah ke malam ini. Kasdi berharap dia akan selamat. Tiada gangguan daripada Sang belang. Misinya akan berjaya. Emak dan ayahnya tidak akan kecewa. Orang kampung tidak akan menertawakan dia. ***
Selesai solat subuh, Kasdi panaskan air menggunakan periuk nasi. Di dalam periuk itu jugalah dibubuhnya kopi dan gula. Bila air sudah sejuk, di periuk itulah juga tempat dia akan minum dan mencicah biskut kering yang dibawa. Itulah minum pagi yang membolehkan dia bertenaga untuk memulakan kerja-kerja mencari ramuan ajaib!
Hampir separuh hari dia mencari pohon tunjuk langit. Akhirnya pohon penuh berkhasiat itu ditemui di puncak gunung. Walaupun tidak begitu besar, tetapi berbaloi juga usaha Kasdi mencarinya. Tanpa membuang banyak masa dia terus menggali pohon tunjuk langit untuk mendapatkan akar tunjang. Setelah menggali sedalam paras lutut, Kasdi berjaya menumbangkan pokok tunjuk langit. Akar tunjang yang berwarna kuning lemak ketam itu dikerat dua dan dimasukkan ke dalam guni. Lubang dari akar itu Kasdi menimbus semula supaya tidak dikesan oleh orang lain.
Dengan penemuan akar tunjang pohon Tunjuk Langit itu, boleh dikatakan tugas Kasdi hampir selesai. Mencari pohon Tunjuk Langit adalah satu kerja sukar. Menggali tunjangnya juga lebih sukar. Bila dia menemui pohon yang jarang-jarang tumbuh itu bererti dia bernasib baik. Lebih bernasib baik lagi pohon tersebut tidak tumbuh di celah-celah batu besar. Petang itu akar tunjang Tunjuk Langit dibawa ke tempat dia berkampung.
Selesai membersih akar tunjang pohon Tunjuk Langit, Kasdi mula memasak untuk makan malam. Menu malam itu tentunya nasi putih, berlauk ikan kering bakar dan berulam pucuk jenerih. Tentu amat menyelerakan. Apa lagi separuh daripada hajatnya telah tercapai.
Malam itu Kasdi mula memasang angan-angan. Bagaimana dia akan menyediakan ramuan vaksin anti Covid-19, versi Kasdi dari puncak gunung.
Setelah dibersihkan akar tunjang itu akan dicincang halus-halus dan dijemur sampai kering. Setelah kering, ia akan direbus.
Air itu nanti akan disejukkan, ditapis beberapa kali sebelum diminum sebagai penawar dan ubat melawaan Covid-19. Kasdi yakin, vaksin ciptaannya itu boleh menyembuhkan penyakit covid. Kasdi juga cukup yakin, air ciptaannya itu akan lebih berkesan daripada vaksin yang sedang diuar-uarkan.
Ketika Kasdi sampai di halaman rumahnya, suasana ketika itu sunyi sepi. Emak dan ayah tiada. Rumah hanya tinggal kosong. Kasdi duduk di atas anak tangga untuk melepas lelah. Bungkusan ubatan yang dicarinya diletak di beranda rumah.
Selama seminggu dia meninggalkan rumah. Meninggalkan kampung halaman. Hatinya tiba-tiba terasa gusar. Kebimbangannya mulai singgah di fikirannya. Ke mana emak dan ayah? Selamatkah mereka? Kasdi bingkas bangun. Dia tiba-tiba menerpa naik ke atas rumah. Dia menuju ke ruang dapur. Kemudian dia menuju ke ruang tidur emak dan ayah. Kasdi tercegat seketika. Keadaan dalam rumah masih terurus.
“Tapi ke mana mereka?”  Kasdi mulai gusar. Dia turun semula ke tanah. Ketika dia memijak anak tangga pertama, sebuah van Kementerian Kesihatan memasuki pekarangan rumah.
Kasdi menerpa ke arah kenderaan itu. Tetapi belum sempat Kasdi berbuat apa-apa seorang lelaki yang lengkap memakai topeng dan penghadang muka, serta seluruh tubuh berbungkus plastik, tiba-tiba bersuara.
“Encik tidak boleh rapat dengan kami. Encik tidak memakai pelitup muka.”
Langkah Kasdi terhenti tiba-tiba. Otaknya semakin ligat berfikir. Ketika kekeliruannya sedang memuncak, pintu van dibuka oleh lelaki tersebut. Saat itu jugalah emak dan ayahnya turun dari van.
“Ayah. Emak.” Laung Kasdi kuat
“Alhamdulillah, mereka berdua telah selamat disuntik.”
Kasdi terpinga-pinga. Dia merenung wajah emak dan ayahnya dari jauh. Dia merenung wajah lelaki tersebut. Dia merenung bahan ‘vaksinnya’ yang masih berbungkus di beranda. – Mingguan Malaysia
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya