2020 istirahat panjang ekosistem terumbu karang - Utusan Malaysia

2020 istirahat panjang ekosistem terumbu karang

TERUMBU karang adalah antara aset negara yang perlu dipulihara untuk memastikan kelestariannya pada masa hadapan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pelancongan adalah antara penyumbang terbesar kepada sektor ekonomi negara. Pendapatan yang dijana daripada industri pelancongan negara mencecah RM86.14 bilion pada tahun 2019.

Rentetan daripada kerancakan industri ini pelbagai promosi dijalankan oleh kerajaan bagi menjana lebih banyak pendapatan kepada negara.

Namun seperti pepatah yang biasa kita dengar ‘disangkakan panas hingga ke petang rupanya hujan di tengah hari’. Momentum kemeriahan industri pelancongan yang kita jangkakan dapat diteruskan pada tahun 2020 secara tiba-tiba menjadi sendu akibat penularan pandermik-covid 19 yang melanda seluruh dunia.

Salah satu komponen industri pelancongan yang sangat terkesan akibat penularan pandermik Covid-19 adalah aktiviti pelancongan di pulau-pulau peranginan terkenal di dalam negara seperti Sipadan, Mabul, Redang, Perhentian dan Tioman.

Pulau-pulau peranginan berkenaan diketahui umum menjadi tarikan pelancong dari dalam dan luar negara kerana kepelbagaian biodiversiti terumbu karang yang kaya.

Secara saintifiknya terumbu karang merupakan organisma marin yang unik kerana mempunyai ciri dwi-fungsi iaitu sebagai haiwan dan juga tumbuhan.

Ciri dwi-fungsi ini terbentuk melalui hubungan simbiosis di antara koloni haiwan kecil seperti buran atau sea-anemone yang terdapat pada kerangka keras kalsium karbonat dan alga simbiotik zooxanthelae yang menjalankan proses fotosintesis.

Kehadiran zooxanthelae memberikan tona warna yang sangat indah dan menarik pada terumbu karang.

Namun, keindahan terumbu karang tidak dapat dinikmati pada pembukaan musim tahun 2020 seperti tahun-tahun sebelumnya. Ini apabila beberapa siri pelaksanaan perintah kawalan pergerakan dilaksanakan.

Bermula dengan perintah kawalan pergerakan (PKP), diikuti perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) dan terbaharu perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

Dari perspektif ekonomi, langkah-langkah kawalan pencegahan yang dilakukan oleh kerajaan memberi impak yang agak kritikal kepada rantaian industri pelancongan negara khususnya bagi pemain-pemain industri pelancongan setempat.

Namun, dari aspek ekologi, langkah-langkah berkenaan telah memberikan satu ruang istirahat yang panjang kepada ekosistem terumbu karang. Tempoh istirahat ini khususnya bagi pulau-pulau di pantai timur Semenanjung Malaysia menjadi lebih panjang dengan bermulanya musim monsun timur laut atau tengkujuh.

Kebiasaannya monsun timur laut akan berlangsung di antara November dan Februari. Sepanjang monsun timur laut hampir 100 peratus penginapan dan hotel di pulau-pulau peranginan di pantai timur Semenanjung Malaysia akan menutup operasi mereka.

Melihat kepada tempoh istirahat yang luar biasa panjang ini adalah dijangkakan sebahagian besar ekosistem terumbu karang di pulau-pulau peranginan negara akan melalui satu fasa pemulihan kendiri.

 

TEMPOH PKP membolehkan ikan-ikan terumbu karang kembali menjalankan fungsi pembersihan biologi mereka dengan berkesan.

Kajian lapangan oleh pakar biologi terumbu karang Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Lee Jen Nie mendapati, tempoh PKP memberi ruang kepada ekosistem terumbu karang untuk pulih.

Menurut beliau, sepanjang tempoh PKP, ikan-ikan terumbu karang kembali menjalankan fungsi pembersihan biologi mereka dengan berkesan. Tanpa kehadiran pelancong bermakna tiada makanan luar yang diberikan kepada ikan-ikan terumbu karang.

Keadaan ini membuatkan ikan-ikan terumbu karang hanya bergantung kepada persekitaran terumbu karang untuk memperolehi makanan yang terdapat di permukaan-permukaan terumbu karang. Secara tidak langsung ia akan membantu proses pembersihan permukaan terumbu karang secara alami.

Menurut Jen Nie lagi, proses pembersihan secara alami ini turut memberikan peluang kepada alga simbiotik zooxanthelae melakukan proses fotosintesis dengan lebih efisien. Seterusnya mewujudkan hubungan simbiosis yang lebih baik dengan simbionnya iaitu buran terumbu karang.

Masyarakat awam mungkin beranggapan bahawa memberi makan kepada ikan-ikan terumbu karang tidak akan mendatangkan sebarang isu atau masalah kepada alam sekitar. Namun, terbukti tanggapan sebegitu adalah salah dan dengan jelas ianya boleh memberikan kesan yang negatif kepada ekosistem terumbu karang.

Biarlah ikan-ikan terumbu karang menjalankan fungsi mereka dengan berkesan bagi membantu kelestarian dan kesihatan terumbu karang di perairan kita. Sesungguhnya mereka tidak akan pernah lapar tanpa makanan luar yang kita bawa kerana ekosistem itu merupakan rumah mereka sejak dahulu lagi.

Bagi ekosistem terumbu karang semoga tahun 2020 menjadi tempoh istirahat yang mampu memberikan ruang yang secukupnya untuk proses pemulihan kendiri.

Bagi kita sebagai warga alam seharusnya kita lebih cakna dengan aktiviti pelancongan yang lebih mampan demi memastikan warisan terumbu karang yang kita banggakan ini terus kekal sihat dan lestari apabila aktiviti pelancongan kembali aktif suatu hari nanti.

  • Penulis ialah Pengarah Pusat Perkhidmatan Penyelidikan dan Lapangan, dan Pensyarah kanan di Fakulti Sains dan Sekitaran Marin, UMT
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN