MELAKA: Setiap kali menjelang Ramadan, bubur lambuk menjadi antara juadah wajib dicari oleh semua penggemarnya, khususnya umat Islam yang menunaikan ibadat puasa.
Tidak hairanlah bubur lambuk di Kampung Bukit Piatu di sini sentiasa dinanti-nantikan orang ramai tanpa mengira usia dan bangsa, singgah ke situ bagi mendapatkannya secara percuma.
Pengurus Bubur Lambuk Bukit Piatu, Baharom Sulaiman, 59, berkata, keenakan bubur lambuk yang disediakan penduduk kampung menggunakan resipi asli dari Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur.
Dia yang sudah 20 tahun menguruskan bubur lambuk itu berkata, resipi berkenaan dipelajari seorang tukang masak tempatan dikenali sebagai arwah Haji Mat, sebelum diwariskan kepada rakan yang lain bagi mengekalkan keasliannya.
“Sudah hampir 26 tahun bubur lambuk Kampung Bukit Piatu masih mengekalkan tradisi mengagih-agihkan kepada seluruh masyarakat yang lalu di sini.
“Tahun ini kita berubah tempat mengagihkan bubur lambuk, bukan lagi di selekoh sebaliknya di tempat yang cukup selesa dan selamat kepada orang ramai untuk mengambil juadah secara pandu lalu.
“Kali ini kita gunakan empat periuk besar dan bukan tiga seperti sebelum ini bagi menampung permintaan yang banyak pada tahun ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Tambah Baharom, bubur lambuk mula dimasak pada pukul 7.00 pagi menggunakan 90 kilogram (kg) beras, 16 kg daging dan 16 kg santan yang diadun secukup rasa oleh lima tukang masak berpengalaman.
Katanya, kos penyediaan sehari bernilai RM1,000 dan dana diperoleh daripada sumbangan penduduk setempat termasuk orang perseorangan dan syarikat swasta yang sudi menghulurkan bantuan.
“Agihan bubur lambuk berlangsung dari satu sehingga 27 Ramadan sahaja bagi membolehkan penduduk terlibat membuat persiapan Aidilfitri di rumah masing-masing,” jelasnya. – UTUSAN










