AKTIVITI menyelam skuba memang ekstrem. Tetapi pada masa sama, cukup ‘menggoda’ bagi sesiapa sahaja yang sukakan hidupan laut terutama hidupan mikro seperti nudibranch atau ikan. itu yang cuab diektegahkan dalam perogram Start In Toman (SIT).
Walaupun memerlukan minat dan keberanian, sukan ini juga sebenarnya mempunyai tarikan dan menjadi produk pelancongan bagi sesebuah tempat termasuk Pulau Tioman.
Banyak yang boleh dan telah diketengahkan di pulau yang mempunyai 1,001 satu kisah tersendiri ini.
Pulau ini juga cukup unik berbanding pulau-pulau lain di sekitar Semenanjung Malaysia berdasarkan penilaian dalam keseluruhan aspek- sejarah, flora dan fauna, keunikan makanan serta tapak menyelam.

Nama-nama seperti Gunung Nenek Semukut setinggi 703 meter yang berbentuk tanduk dua; Air Terjun Asahan dan keunikan di Kampung Mukut membentuk identiti sendiri di sini.
Segala tarikan di Pulau Tioman lebih terserlah dan pelbagai, malah kos bercuti di sini juga lebih murah (harga makanan dan minuman).
Sebab itu, ada pelbagai aktiviti dianjurkan di sini antaranya program Start In Tioman (SIT) yang sudah memasuki tahun ke-15 dan kekal sehingga kini.
Program yang diadakan di Kampung Genting, Pulau Tioman ini merupakan tempat lahirnya penyelam baharu dan pertemuan penyelam lama.
Ini termasuk penganjuran pada 26 sehingga 29 September lalu.
Sudah beribu penyelam dilahirkan di sini. Begitu juga dengan jumlah kedatangan pengunjung yang dicatatkan menerusi acara tahun ini.
Paling penting, kedatangan pelancong dan penyelam secara tidak langsung memberikan sumber pendapatan untuk penduduk di Pulau Tioman.
Bekas Pengurus Besar Lembaga Pembangunan Tioman (TDA) Datuk Idros Yahya memberitahu, penganjuran SIT kali ini mempunyai objektif dan misi besar di pulau berkenaan terutama untuk jangka masa panjang.
Menurutnya ini disebabkan beberapa faktor yang menjadi penyumbang kepada potensi pelancongan di Pulau Tioman terutama menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Kos untuk mengambil lesen menyelam di negara kita lebih murah dan kompetitif dibandingkan di tempat lain walaupun termasuk dengan harga tiket penerbangan. Perkara ini, saya sedar semasa penganjuran London Dive Show satu ketika dahulu.
“Jadi, penganjuran SIT ini membuka peluang orang ramai yang bukan sahaja terhad untuk pelancong tempatan tetapi pelancong luar negara datang mengambil lesen selam di sini. Sekali gus menggalakkan sektor pelancongan sama ada untuk negeri atau negara,” jelasnya.
Tambahnya, penyelam yang dilahirkan menerusi program SIT secara tidak langsung boleh menjadi ‘duta’ bagi mempromosikan Pulau Tioman.
Di samping itu, Idros turut berharap agar program SIT anjuran Damai Tioman Resort dapat melibatkan pengusaha pusat pelancongan lain di pulau berkenaan.
“Sekiranya ada program bersama dengan melibatkan resort dan banyak lagi dive centre (pusat selam), ia akan memudahkan urusan bagi membawa lebih ramai pelancong terutama dari luar negara.
“Ini bermakna pelancong boleh memilih jenis tempat tinggal berdasarkan kemampuan mereka,” jelasnya.
Dalam pada itu, Pegawai Tadbir (Pembangunan Masyarakat) Lembaga Pembangunan Tioman Nazratul Azra Tukirin berkata, pihaknya mempunyai perancangan rapi sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 nanti.
“Selain kekalkan acara tahunan seperti SIT, kita akan cuba menganjurkan acara dalam skala lebih besar termasuk surfing (luncur air).
“Ini kerana ada ramai peserta luar negara seperti Maldive dan Indonesia.Jadi, ini antara sasaran kami sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 nanti,” jelasnya.
Bagi Pengarah Program SIT, Syed Rizalman Syed Abu Bakar, beliau turut menetapkan sasaran bagi membawa penyelam dari negara ASEAN pada masa akan datang.- UTUSAN










