Santai, tenang di Cameron Highlands tanpa perlu bersesak

Santai, tenang di Cameron Highlands tanpa perlu bersesak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KALAU bercerita tentang Cameron Highlands, sudah pasti tumpuan akan diberikan kepada kawasan di Tanah Rata atau Brinchang. Rata-rata pengunjung sama ada dari dalam atau luar negara biasanya akan memilih dua kawasan ini sebagai lokasi penginapan mereka.

Namun, satu masalah besar kalau ke sana adalah kesesakan. Saya yang berkesempatan menyertai acara larian denai Cameron Ultra (Cultra) 2024 baru-baru ini turut terkena ‘tempiasnya’. Mungkin ada yang fikir untuk apa ke Cameron Highlands kalau sudah begitu keadaannya?

Ada juga betulnya. Akan tetapi nasib saya agak baik sedikit disebabkan menginap di Sekata Apartment yang terletak di Ringlet iaitu lebih kurang 45 minit dari plaza tol Tapah. Jadi, tidak perlu menghadap kesesakan dan kesibukan di beberapa laluan serta kawasan di Cameron Highlands.

Apa yang menarik, apartmen tiga bilik dan dua bilik air ini turut dikelilingi bukit bukau dengan udara yang cukup nyaman serta sejuk – sama sebagaimana ketika saya berada di puncak Gunung Berembun yang menjadi salah satu laluan dalam Cultra 2024.

Harganya juga tidak begitu mahal iaitu RM168 untuk semalam. Sebenarnya apabila saya teroka di kawasan sekitar apartmen ini, terdapat beberapa kemudahan lain seperti restoran Kenny Rogers yang menyediakan penghantaran secara percuma kepada mereka yang menginap di Sekata Apartment.

Selain itu, terdapat Sekata Farmasi untuk tetamu yang menghadapi masalah kesihatan.

Yang mana datang berkeluarga, terdapat kemudahan kolam renang terbuka dilengkapi dengan pemanas air terletak di sebuah bangunan yang dinamakan sebagai Sekata Makmur-tidak jauh dari penginapan.

Kolam renang ini agak menarik kerana pengunjung dapat menikmati pemandangan bukit bukau di sekitar yang memberikan suatu ketenangan ketika mandi -manda.

Terdapat padang terbuka di tingkat atas untuk meng­adakan majlis perkahwinan, kursus, bilik mesyuarat dan persidangan.

Ada beza menginap di Ringlet berbanding di Tanah Rata atau kawasan lain yang sinonim dengan kesesakan di Cameron Highlands.

 

Walau apapun, tiada masalah kalau ada yang datang dengan niat utama untuk healing- sebagaimana menjadi trend dan bukannya menyertai acara larian seperti saya kerana kedudukan yang tidak jauh dari tempat menarik antaranya:

1 Cameron Santorini
Reka bentuk bangunan di sini akan membuatkan pengunjung terasa seakan-akan di Santorini, Greece. Kalau ada yang ‘gilakan’ aktiviti bergambar di sini tempat terbaik dan berbeza daripada tempat tipikal Cameron Highlands.

2 Ladang Teh Sungai Palas
Di sini menjadi antara lokasi paling popular di Cameron Highland untuk menikmati secawan teh panas bersama scones dan sepotong kek sambil ditemani keindahan ladang teh yang menghijau.Malah ia menjadi sebahagian laluan dalam acara Cultra 2024.

3 Cameron Valley Tea House
Salah satu tempat wajib yang menjadi ‘rukun’ kalau datang ke sini untuk bergambar dan menikmati pelbagai jenis hidangan serta teh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN