MUSIM haji 1445H/2024H sudah sampai ke penghujung. Rata-rata jemaah haji termasuk dari Malaysia kini sedang menanti masa untuk pulang, selain ada yang sebahagiannya sudah pun bersama keluarga masing-masing.
Haji, selain ibadat turut menjadi satu gelaran bagi mereka yang telah berjaya menyempurnakan Rukun Islam kelima itu dengan membawa pelbagai perkara positif.
Pada satu sudut, kita selalu bercakap soal kemabruran haji dinilai hanya pada aspek atau tempoh tertentu terutama untuk jemaah yang baru pulang dari Tanah Suci. Sedangkan ia merupakan proses berterusan dan memerlukan istiqomah selain amalan-amalan berkekalan.
Begitu juga dalam menghadapi pelbagai situasi dan persekitaran sama ada sebelum atau selepas mengerjakan haji.
Saya yang turut berkesempatan ke Tanah Suci Mekah sebagai petugas media dan diberi peluang sama mengerjakan haji seronok melihat pelbagai ragam jemaah haji yang datang dari pelbagai negara.
Keseronokan itu juga timbul kerana dapat melihat bagaimana kentalnya manusia menahan segala ujian di sana dengan sifat kesabaran tinggi.
Bermula dari wukuf di Padang Arafah, bermabit di Mina dan Muzdalifah, saat melontar ketiga-tiga jamrah sampailah saat pulang menjejakkan kaki ke tanah air, saya berfikir dan terus berfikir.
Saya berfikir tentang kesabaran dan ibadat haji ini sendiri yang banyak mengajar manusia kepada kepatuhan selain penyatuan ummah.
Melalui ibadat haji, ia turut menjadi pengorbanan menyeluruh termasuk wang ringgit, tenaga dan serba-serbi kepayahan dan kesabaran semata-mata untuk menunaikan Rukun Islam serta mencari reda Allah SWT.
Namun, sejauh mana semua sifat yang disemai ketika melaksanakan ibadah tersebut terutama hal berkaitan kesabaran mampu dikekalkan?
Ada hal yang mengingatkan saya apabila memperkatakan tentang perkara ini. Peristiwa jemaah haji yang merempuh jemaah lain untuk memasuki mataf (tempat tawaf) dan ketika tawaf, memotong barisan semasa membeli barangan di pusat beli-belah atau bercakap tentang kebersihan seolah-olah memberi gambaran bahawa ‘semangat’ ibadah tidak meresap dalam jiwa mereka.
Itu belum lagi cerita tentang jemaah yang menunjukkan taring sebenar sebaik selesai musim haji sehingga ada ‘melemparkan kopiah’ disebabkan rasa marah serta hilangnya sifat sabar.
Dalam pada itu, Pembimbing Ibadat Tanah Suci (Pihtas), Ustaz Mohamad Abdullah bahawa kesan haji mabrur tidak boleh dilihat dengan bersandarkan satu tempoh tertentu sama ada ketika berada di Tanah Suci Mekah atau sekembalinya dari tanah air.

Menurutnya, ia sebaliknya merupakan proses yang perlu dilakukan secara berterusan dan sepanjang hayat.
Malah katanya, seseorang itu juga perlu berusaha sebaik mungkin untuk mengekal haji mabrur sama ada sekembalinya dari Tanah Suci atau ketika melaksanakan rukun Islam kelima itu.
“Sifat haji mabrur itu sendiri bukanlah perjalanan sekali sahaja dalam satu perjalanan sebagaimana kita lihat ketika tibanya musim haji. Ia sebaliknya merupakan proses berterusan sehingga seseorang itu pergi menghadap Allah SWT,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Tambah Mohamad, proses bagi mengekalkan haji mabrur juga perlu disusuli dengan amalan lain sebagai pengukuhan ibadat dan kekal istiqomah apabila kembali dari mengerjakan haji.
“Antara amalan yang perlu dilaksanakan adalah zikrullah. Ia menjadi pendorong untuk seseorang itu mengekalkan haji mabrur dan sentiasa mengingati Allah SWT.
“Bukan mudah untuk meraih haji mabrur. Namun tidaklah sukar memperolehnya jika jemaah haji itu meletakkan sepenuh keikhlasan dan jiwa raganya dalam mengerjakan ibadah kerana Allah SWT,” jelasnya.
Menurut Mohamad lagi, pengertian penghayatan haji sepanjang hayat juga bermaksud bahawa apabila jemaah kembali ke tanah air, sikap untuk berubah ke arah lebih baik mesti ada pada diri. – UTUSAN










