Bulan Kesedaran Autisme Sedunia 2026 disambut sepanjang April lalu dengan membawa tema ‘Autism and Humanity – Every Life Has Value’ yang menekankan nilai dan maruah setiap individu dalam spektrum autisme.
Seiring dengan semangat kesedaran tersebut, Program Sunathon yang dianjurkan Hospital Tengku Ampuan Bahiyah Tuanku Aishah Rohani (HTABTAR) tampil dengan pendekatan berbeza apabila memberi tumpuan khusus kepada kanak-kanak autisme.
Tidak seperti sunathon biasa yang dijalankan secara ringkas di klinik atau masjid, program ini dirancang dengan lebih teliti untuk memenuhi keperluan kanak-kanak istimewa.
Pakar perunding kanan pediatrik surgeri dari Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-kanak UKM (Hospital TABTAR), Dr. Marjmin Osman berkata, inisiatif tersebut mencerminkan komitmen hospital dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan yang lebih inklusif.
“Majlis ini amat bermakna dan unik kerana memberi tumpuan khusus kepada kanak-kanak autisme dengan menyediakan perkhidmatan yang inklusif, selamat dan bersesuaian dengan keperluan khusus mereka,” katanya ketika majlis perasmian.
Beliau berkata, program tersebut juga boleh dianggap antara yang terawal di Malaysia kerana dilaksanakan khusus untuk anak-anak istimewa.

“Usaha ini jelas menunjukkan keprihatinan serta kesungguhan pihak hospital dalam memastikan golongan ini tidak terpinggir daripada menerima perkhidmatan kesihatan yang sewajarnya,” katanya.
Program ini diwujudkan selepas pihak hospital menerima banyak permintaan daripada ibu bapa yang ingin anak mereka menjalani prosedur berkhatan dalam keadaan lebih selamat.
Bagi kanak-kanak autisme, proses berkhatan bukan sesuatu yang mudah kerana mereka cenderung mengalami kesukaran mengawal emosi dan mudah mengalami tantrum.
Justeru, kebanyakan prosedur dilakukan menggunakan bius penuh bagi mengelakkan risiko dan memastikan keselamatan.
Selain itu, setiap peserta akan menjalani saringan awal bagi menentukan kesesuaian dari segi bius dan prosedur.
Langkah ini penting bagi mengurangkan komplikasi serta tekanan emosi terhadap kanak-kanak.
Menariknya, pendekatan khas turut diperkenalkan sepanjang program berlangsung.
Antaranya termasuk penyediaan ruang khas atau “calming area” bagi membantu menenangkan kanak-kanak sebelum prosedur.
Persekitaran juga dikawal agar lebih tenang dengan rangsangan deria yang minimum.
Petugas kesihatan menggunakan kaedah komunikasi yang lebih lembut serta teknik distraksi untuk mengurangkan kebimbangan.
Dalam masa sama, ibu bapa turut dilibatkan bagi membantu menenangkan anak masing-masing.

Menurut Dr. Marjmin, pendekatan tersebut penting untuk memastikan kesejahteraan emosi kanak-kanak sentiasa terpelihara.
“Pendekatan rawatan disesuaikan secara individu serta penglibatan ibu bapa dalam proses persediaan bagi mengurangkan kebimbangan anak-anak,” katanya.
Beliau berkata, keunikan program ini terletak pada sokongan pelbagai kepakaran yang terlibat sepanjang proses.
Ini termasuk pasukan pembedahan pediatrik, pakar bius, pakar psikologi klinikal serta Child Development Centre (CDC).
Selain itu, Jabatan Kejururawatan, Rehabilitasi, Farmasi dan unit sokongan lain turut memainkan peranan penting.
Kerjasama multidisiplin ini memastikan setiap aspek, termasuk fizikal dan emosi, diberi perhatian sewajarnya.
Menurut pihak hospital, seramai 21 kanak-kanak autisme dipilih menyertai program ini daripada lebih 300 permohonan yang diterima.
Pemilihan dibuat berdasarkan penilaian menyeluruh oleh pakar bagi memastikan kesesuaian.
Selain memudahkan penjagaan kebersihan, khatan juga didapati membantu mengurangkan rangsangan deria berlebihan dalam kalangan kanak-kanak autisme.
Ia sekaligus dapat memperbaiki tingkah laku berulang yang sering dialami mereka.
Beliau berkata, kerjasama menyeluruh itu bermula sejak peringkat awal perancangan bagi memastikan program berkenaan benar-benar mesra autisme.










