Gadis maut ditikam: Pelajar kolej vokasional didakwa bunuh Nurfisya

Gadis maut ditikam: Pelajar kolej vokasional didakwa bunuh Nurfisya

TERTUDUH diiringi polis semasa menghadiri prosiding pertuduhan di Mahkamah Kota Bharu, Kelantan. - UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang pelajar di sebuah kolej vokasional didakwa membunuh seorang gadis yang merupakan pelajar Kolej Poly-Tech Mara (KPTM), Nurfisya Zulkifly, 19, di Ketereh, dekat sini, dua minggu lalu.

Tertuduh, Muhammad Hazim Muhammad, 19, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan memandangkan kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, remaja itu didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Nurfisya kira-kira pukul 11.40 malam pada 30 April lalu hingga 12.20 tengah malam pada 1 Mei lepas di Jalan Pengkalan Piah, Ketereh.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara sehingga 40 tahun dan tidak kurang daripada 12 sebatan jika tidak dihukum mati.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Kelantan, Wan Azimah Yaacob dibantu Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Nadzir Abdullah dan Ahmad Naabil Mohamed Asri manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd. Alias Ibrahim.

Mahkamah menetapkan 2 Julai ini untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan beberapa laporan pakar.

Terdahulu, remaja berusia 19 tahun itu yang merupakan suspek kes pembunuhan seorang gadis yang maut dengan 61 kesan tikaman sebelum ditinggalkan di Ketereh tiba di Kompleks Mahkamah Kota Bharu, di sini untuk prosiding pendakwaan.

Suspek yang memakai baju-T berwarna hitam tiba di kompleks itu kira-kira pukul 9.15 pagi dengan menaiki kenderaan polis.

Sebelum itu, polis menemukan 61 kesan tikaman pada badan gadis yang dipercayai mati dibunuh sebelum mayatnya dibuang di Ketereh.

Maklumat tersebut hasil pemeriksaan awal dilakukan oleh pasukan forensik bermula dari bahagian muka sehingga kaki. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN