CUACA panas melampau bukan sahaja memberi kesan kepada kesihatan tubuh, malah turut menjejaskan kulit wajah.
Keadaan ini menyebabkan kulit menjadi lebih sensitif dan mudah mengalami iritasi.
Tidak hairanlah apabila pesakit ekzema kerap mengadu kulit mereka semakin teruk sepanjang tempoh ini.
Walaupun rutin penjagaan harian masih sama dan tidak berubah, namun masalah itu tetap sukar dikawal.
Segelintir individu pula turut dikesan mengalami jerawat teruk hingga menjejaskan keyakinan diri
Pakar dermatologi, Pusat Perubatan Prince Court, Dr. Rani Manohari Kuppusamy berkata, persekitaran panas merangsang pengeluaran minyak berlebihan pada kulit.

Akibatnya, kulit jadi lebih berminyak, mudah berpeluh dan rasa melekit.
“Campuran peluh, minyak dan kotoran pula berpotensi menyumbat liang pori, sekali gus mencetuskan masalah seperti jerawat, ruam panas dan kemerahan pada wajah.
“Dalam masa sama, keadaan cuaca sebegini juga boleh menyebabkan dehidrasi dan iritasi kulit selain mempercepatkan kerosakan disebabkan oleh sinaran ultraungu (UV),” katanya baru-baru ini.
Kerosakan itu termasuklah kulit terbakar, pigmentasi dan penuaan pramatang.
Justeru, katanya, penggunaan produk penjagaan wajah yang ringan seperti berasaskan air atau gel amat penting bagi membantu mengekalkan keselesaan kulit.
“Namun, perlu diingatkan, ini bukan masa yang sesuai untuk terlalu bereksperimen dengan banyak produk penjagaan wajah dan kosmetik.
“Cukuplah sekadar memilih pencuci dan pelembap yang lebih ringan serta memastikan kulit sentiasa dibersihkan setiap hari.
“Selain itu, tidak perlu mencuci muka terlalu kerap sehingga dua atau tiga kali sehari kerana ia boleh mengganggu keseimbangan kulit,” jelasnya.
Wajib pakai pelindung matahari
Rani turut menyarankan penggunaan pelindung matahari sebagai sebahagian daripada rutin harian setiap individu.
Katanya, pemilihan pelindung matahari dengan sekurang-kurangnya SPF 30 ke atas dapat membantu melindungi kulit daripada kesan sinaran UV.
“Walaupun produk ini penting, namun ramai yang sering terlupa atau tidak menggunakannya dengan cara betul,” katanya.
Antara kaedahnya ialah teknik dua garisan, iaitu dengan memicit pelindung matahari sepanjang dua garisan pada jari sebelum disapu secara sekata pada muka, leher dan bahagian badan lain.
Katanya, pemakaian semula pelindung matahari secara berkala juga perlu dilakukan terutama ketika berada di luar rumah, berpeluh atau terdedah lama kepada terik matahari.
“Malah, ia boleh disapu terus pada wajah tanpa perlu menanggalkan solekan, sekali gus memudahkan pengguna mengekalkan perlindungan kulit sepanjang hari,” katanya.
Elak ke pantai, pakaian longgar
Dalam perkembangan sama, Rani menasihatkan orang ramai untuk mengelakkan aktiviti berjemur di pantai buat sementara waktu bagi mengurangkan risiko kerosakan kulit akibat sinaran UV.
Bagaimanapun, aktiviti itu boleh kembali dilakukan apabila keadaan cuaca kembali lebih stabil dan suhu tidak terlalu panas.
Selain itu, masyarakat juga disarankan memakai pakaian longgar dan bernafas.
Katanya, pakaian ketat boleh menyebabkan peluh berlebihan dan geseran pada kulit.










