Perginya ‘Ibu disleksia Malaysia’, jasa Sariah akan terus dikenang

Perginya ‘Ibu disleksia Malaysia’, jasa Sariah akan terus dikenang

SARIAH AMIRIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pemergian Sariah Amirin pada usia 82 tahun bukan sekadar kehilangan seorang tokoh pendidikan, tetapi hilangnya satu figura yang selama ini menjadi suara dan harapan kepada golongan disleksia di Malaysia.

Walaupun beliau sudah tiada, jasa dan perjuangannya akan terus hidup, terutama buat anak-anak disleksia yang setiap hari masih berusaha untuk menyesuaikan diri dalam masyarakat yang kadangkala sukar memahami mereka.

Sepanjang hidupnya, Sariah banyak membuka mata masyarakat mengenai disleksia bukan penyakit dan bukan juga tanda seseorang itu tidak bijak.

Ia hanyalah keadaan pembelajaran yang berbeza. Namun, dalam dunia yang terlalu menilai kecemerlangan akademik, ramai kanak-kanak disleksia membesar dengan rasa rendah diri kerana sering dianggap lambat, malas atau tidak mampu bersaing seperti orang lain.

Disebabkan itu perjuangan beliau sangat besar nilainya. Sariah bukan sahaja membantu anak-anak disleksia belajar membaca dan menulis, tetapi beliau turut membantu mereka membina keyakinan diri untuk terus berdiri dalam komuniti sehingga beliau mendapat gelaran ‘ibu disleksia Malaysia’.

Beliau faham cabaran sebenar golongan disleksia bukan hanya di dalam kelas, tetapi juga bagaimana mereka mahu diterima dalam kehidupan seharian.

JANGAN MALU DENGAN ANAK DISLEKSIA

Sariah sentiasa mengingatkan ibu bapa supaya tidak malu mempunyai anak disleksia. Baginya, setiap anak mempunyai kelebihan tersendiri. Mereka mungkin tidak menyerlah dalam akademik, tetapi boleh menjadi sangat hebat dalam bidang kemahiran, kreativiti dan bakat tertentu jika diberi ruang serta sokongan yang betul.

sariah Amirin ketika menerima Anugerah Ikon Pesara (AIP) pada tahun 2019.

Dalam masyarakat hari ini, mesej itu masih sangat relevan. Ramai masih melihat kejayaan hanya melalui keputusan peperiksaan semata-mata. Sedangkan ada anak-anak yang belajar dengan cara berbeza, tetapi mempunyai potensi besar yang belum diterokai. Golongan seperti inilah yang selama ini cuba diperjuangkan oleh Sariah.

Penubuhan Persatuan Disleksia Malaysia menjadi bukti kesungguhan beliau membantu komuniti ini. Melalui persatuan tersebut, ramai ibu bapa akhirnya mendapat tempat untuk bertanya, berkongsi pengalaman dan mencari kekuatan ketika berdepan cabaran membesarkan anak disleksia.

PROGRAM PEMULIHAN INTENSIF

Beliau juga membangunkan program pemulihan intensif untuk membantu kanak-kanak disleksia membaca. Usaha itu bukan sesuatu yang mudah kerana pada ketika itu, kesedaran mengenai disleksia masih belum meluas seperti hari ini.

Namun, Sariah terus bergerak perlahan-lahan membina kesedaran dalam masyarakat.

Tidak cukup dengan itu, beliau membuka 15 pusat disleksia di seluruh negara supaya lebih ramai kanak-kanak mendapat akses kepada pembelajaran yang sesuai dengan keperluan mereka.

Ini menunjukkan beliau benar-benar mahu memastikan tiada anak disleksia tercicir hanya kerana mereka belajar secara berbeza.

Sumbangan beliau menerbitkan 10 buku disleksia dalam bahasa Melayu juga sangat besar ertinya.

Pada waktu itu, bahan pembelajaran khas dalam bahasa kebangsaan masih agak terhad. Jadi, usaha tersebut sedikit sebanyak membantu ramai guru, ibu bapa dan murid di seluruh negara.

Apa yang membuatkan ramai kagum ialah cara beliau mendekati ibu bapa. Sariah bukan sekadar memberi teori, tetapi turut mengajar mereka kaedah pembelajaran yang boleh digunakan di rumah.

Sariah faham sokongan keluarga memainkan peranan sangat penting dalam perkembangan anak disleksia.

TAKUT DAN BUNTU

Hakikatnya, ramai ibu bapa sebenarnya berasa takut dan buntu apabila mengetahui anak mereka disleksia. Ada yang risau anak tidak mampu berjaya, ada juga yang takut dipandang serong masyarakat. Kehadiran Sariah sedikit sebanyak memberi harapan dan ketenangan kepada mereka.

Beliau sering menekankan ibu bapa tidak seharusnya menyalahkan anak jika mereka lambat memahami arahan atau sukar memberi tumpuan. Sebaliknya, anak-anak ini lebih memerlukan kesabaran, dorongan dan semangat untuk berkembang mengikut kemampuan mereka sendiri.

Perjuangan beliau juga membuka mata masyarakat mengenai setiap anak memerlukan pendekatan berbeza. Tidak semua kanak-kanak sesuai dengan sistem pembelajaran yang sama. Ada yang cemerlang melalui visual, ada yang lebih cepat memahami secara praktikal dan ada yang memerlukan lebih masa untuk belajar.

Dalam diam, ramai sebenarnya terkesan dengan usaha beliau. Ada anak disleksia yang akhirnya berjaya membaca, ada yang mula yakin bercakap di hadapan orang ramai dan ada juga ibu bapa yang kembali percaya anak mereka mempunyai masa depan cerah.

PENGIKTIRAFAN

Jasa dan sumbangan beliau itu membolehkan Sariah menerima Anugerah Ikon Pesara pada tahun 2019. Ia bukan sekadar penghargaan kepada seorang pesara aktif, tetapi simbol penghormatan terhadap seorang wanita yang memilih untuk terus menyumbang kepada masyarakat walaupun sudah bersara.

Sariah membuktikan persaraan bukan alasan untuk berhenti memberi manfaat kepada orang lain. Malah, beliau menggunakan pengalaman dan minatnya dalam pendidikan untuk membantu komuniti yang sangat memerlukan perhatian.

Apa yang beliau lakukan sebenarnya lebih daripada sekadar kerja kebajikan. Ia adalah satu bentuk perjuangan sosial untuk memastikan golongan disleksia tidak terus dipinggirkan atau dianggap kurang berkemampuan.

Hari ini, walaupun kesedaran mengenai disleksia semakin meningkat, cabarannya masih ada. Masih ramai anak yang berasa sukar untuk diterima dalam sistem pendidikan dan masyarakat. Masih ada yang berdepan ejekan, salah faham dan tekanan emosi hanya kerana mereka belajar secara berbeza.

Pemergian Sarian mungkin amat dirasai oleh komuniti ini namun, legasi beliau tidak akan terhenti di sini. Semua usaha yang dibina selama puluhan tahun akan terus hidup melalui Persatuan

Disleksia Malaysia, pusat-pusat pembelajaran yang diasaskan serta ribuan keluarga yang pernah dibantu olehnya.

Semangat beliau akan terus hidup dalam diri anak-anak disleksia yang masih berjuang mencari tempat dalam masyarakat. Mereka mungkin berdepan cabaran berbeza, tetapi perjuangan Sariah membuktikan mereka juga mampu berjaya.

Semoga semua pengorbanan dan kebaikannya menjadi amal jariah buat beliau selain lebih ramai meneruskan perjuangannya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN